I made this widget at MyFlashFetish.com.

Monday, 14 May 2012

METODOLOGI DAN KEISTEMEWAAN PENULISAN HADIS SAHIH IMAM BUKHARI


PENDAHULUAN

Dalam sejarah menghimpun dan penulisan hadis mengalami perkembangan yang agak lambat dan bertahap dibandingkan dengan perkembangan dan penulisan al-Qur’an. Hal ini kerana al-Qur’an pada zaman Rasulullah SAW sudah ditulis al-Quran itu walaupun sedikit, dan mulai dibukukan pada zaman Abu Bakar khalifah pertama sekalipun penyempurnaannya dilakukan pada zaman khalifah Osman bin Affan yang disebut dengan mushaf Osmani. Sedangkan penulisan hadis pada masa Rasulullah SAW hannya secara umum kerana dilarang oleh baginda SAW. Pembukuan hadis bermula pada abad ke 2 hijrah, pengumpulan dan penulisan hadis mengalami proses pengembangan yang lambat, melibatkan banyak orang dari masa ke masa dan menghadapi pelbagai masalah.

Keadaan hadis pada masa perkembangan sebelum pengumpulan dan penulisan pernah mengalami masalah yang berliku di tengah masyarakat . Oleh kerana itu, para ulama bangkit mengadakan kajian  hadis-hadis yang beredar dan meletakkan dasar kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan yang ketat bagi orang yang meriwayatkan hadis. Dr. M. Syuhudi Isma’il menjelaskan perlunya penelitian hadis kerana hadis Nabi sebagai salah satu sumber ajaran Islam. Tidak seluruh hadis ditulis ketika Nabi masih hidup. Telah timbul pelbagai pemalsuan hadis, dan proses pembukuan hadis memakan waktu yang lama.[1]

Dengan demikian, penyusunan hadis pada hakikatnya sama antara ahli hadis yang lain kerana pola penyusunan hadis telah ditetapkan para ulama-ulama terdahulu. Begitu juga dengan pola penyusunan hadis Imam Bukhari dan hadis Imam Muslim, berdasarkan ilmu hadis yang telah ditetapkan oleh para ulama terdahulu, pada dasarnya pola penyusunan hadis kedua-dua imam tersebut iaitu Imam Bukhari dan Imam Muslim adalah sama. Oleh kerana itu, pola penyusunan hadis Imam Muslim banyak kepada pola penyusunan hadis Imam Bukhari, namun jika diteliti ada perbezaan antara keduanya.

Sahih Bukhari dan Sahih Muslim merupakan dua kitab yang paling sahih setelah al-Qur’an. Melalui kedua-dua kitab ini, ilmu hadis menjadi lebih tersebar kerana pengaruh kedua kitab sahih itu terhadap orang Islam terkemudian ini. Kedua-dua kitab ini telah membuktikan adanya gerakan menghimpun dan meriwayatkan hadis pada masa Imam Bukhari dan Imam Muslim, sehingga taraf kedua kitab itu tidak dapat ditandingi oleh karya imam-imam hadis sesudahnya.[2]

Setelah melihat bentuk metod dan pola penyusunan kitab hadis yang dilakukan Imam Bukhari dan Imam Muslim, sebagai seorang muslim, banyak memberikan kelebihan yang besar daripada kedua imam ini. Berkat jasa beliau berdualah, hadis dapat terjaga terutama dari kalangan oreantalis yang selalu mengkritik dan memandang rendah para ahli hadis termasuk salah satunya adalah Imam Bukhari. Kitab Sahih Imam Bukhari banyak mendapat kritikan dari para oreantalis yang berkaitan dengan metod dan pola punyusunan kitab tersebut.

Namun kedudukan kitab hadis Sahih Bukhari sehingga sekarang banyak menjadi rujukan, sedangkan kitab hadis Sahih Muslim merupakan kitab hadis kedua setelah kitab hadis Sahih Imam Bukhari. Walaupun ada perbezaan antara keduanya, namun tidak ada perselisihan dan perpecahan antara ulama-ulama ahli hadis tentang pola penyusunan kitab hadis kedua imaminit. Dengan demikian, dapat disimpulkan bahawa dalam penulisan dan pola penyusunan kitab hadis, antara Imam Bukhari dan Imam Muslim pada hakikatnya tidak ada perbezaan yang ketara, tetapi pada bahagian-bahagian tertentu yang membezakan antara keduanya terutama perkara utama kitab hadis yang ditulis.

Metodologi Penulisan Kitab Hadis Sahih Imam Bukhari
Imam Bukhari adalah ahli hadis yang termasyhur diantara para ahli hadis sejak dulu hingga kini bersama dengan Imam Ahmad, Imam Muslim, Abu Dawud, Tirmidzi, An-Nasai, dan Ibnu Majah. Dalam kitab-kitab fiqh dan hadis, hadis-hadis beliau memiliki darjat yang tinggi. Sebahagian menyebut dengan jolokan Amirul Mukminin fil Hadis iaitu pemimpin kaum mukmin dalam  ilmu hadis. Dalam bidang ini, hampir semua ulama di dunia merujuk kepadanya.

Nama lengkap Imam Bukhari adalah Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn Mughirah al-Ja’fi ibn Bardizbah al-Bukhari, salah seorang dari perawi dan ahli hadis yang terkenal. Beliau lebih dikenal dengan nama al-Bukhari, hal ini disandarkan pada tempat kelahirannya iaitu Bukhari.[3] Ada sumber mengatakan bahawa Imam Bukhari dilahirkan di Bukhara, Uzbekistan, Asia Tengah. Beliau lahir pada hari Jumaat,13 Syawal 194 H pada 21 Julai 810 M. Ayahnya yang bernama Ismail terkenal sebagai seorang ulama yang soleh. Tempat beliau lahir kini termasuk wilayah Rusia, yang waktu itu memang menjadi pusat kebudayaan ilmu pengetahuan Islam sesudah Madinah, Damaskus dan Baghdad. Daerah itu pula yang telah melahirkan ilmuan-ilmuan besar seperti al-Farabi dan Ibnu Sina. Bahkan ulama-ulama besar seperti Zamaksyari, al-Durdjani, al-Bairuni dan lain-lain, juga dilahirkan di Asia Tengah. Sekalipun daerah tersebut telah jatuh di bawah kekuasaan  Soviet Union.[4] Kedudukan Imam Bukhari bukan sahaja dikenali dikalangan umat Islam sahaja, namun seluruh umat manusia mengetahui kehebatan beliau. Kitab hadis Sahih Imam Bukhari merupakan kitab hadis pertama yang menjadi rujukan para ahli hadis hingga sekarang terutama dikalangan para ilmuwan muslim mahupun bukan Islam terutama tentang metod dan pola penyusunan kitab hadis tersebut.

Di antara kota yang pernah beliau kunjungi dalam rangka mencari ilmu hadis adalah ke Maru, Naisaburi, Ray, Baghdad, Basrah, Kuffah, Madinah, Mekkah, Mesir, Damaskus dan Asqalani. Guru-gurunya dalam bidang hadis lebih dari 1000 orang. Beliau sendiri pernah menyebutkan bahawa kitab al-Jami al-Sahih atau yang terkenal dengan nama Sahih al-Bukhari, disusun hasil dari menemui 1080 orang guru dalam bidang ilmu hadis. Dari perjalanan beliau tersebut, Imam Bukhari berhasil mengumpulkan hadis sebanyak 600 000 hadis, 300 000 hadis di antaranya beliau hafal, yang terdiri atas 200 000 hadis hasan, dan 100 000 hadis yang sahih.[5]

Beliau seorang intelektual yang berdisiplin tinggi. Imam Bukhari  dikenali sebagai pengarang kitab yang produktif. Karya-karyanya tidak hanya dalam disiplin ilmu hadis, tetapi juga ilmu-ilmu lain, seperti tafsir, fiqh, dan sejarah. Fatwa-fatwanya selalu menjadi pegangan umat sehingga mencapai darjat sebagai mujtahid mustaqil iaitu ulama yang ijtihadnya terbuka, tidak terikat pada mazhab tertentu, sehingga mempunyai autoriti tersendiri dalam pendapat berkaitan hukum. Pendapat-pendapat beliau sealiran dengan Imam Abu Hanifah iaitu Imam Hanafi yang berpendirian mazhab hanafi, tetapi ada juga sedikit perbezaannya. Sehingga pola penyusunan dan pola pimikiran beliau tentang hadis tidak bergantung kepada satu mazhab saja, namun beliau mengambil dari berbagai pemikiran para ulama-ulama dalam penyusunan kitab hadis tersebut.

Imam Bukhari diakui memiliki daya hafalan yang  tinggi, diakui oleh kakaknya Rasyid bin Ismail. Kakak beliau pernah menceritakan, pernah Bukhari semasa remaja dan beberapa murid lain mengikuti kuliah dan ceramah di Balkh. Tidak seperti murid lain, Bukhari tidak pernah membuat catatan semasa kuliah. Beliau sering dicemuh kerana membuang masa tidak mencatat, namun Bukhari diam tidak menjawab. Suatu hari, kerana sering dicemuh, Bukhari meminta kawan-kawannya membawa catatan mereka, kemudian beliau membacakan secara tepat apa yang pernah disampaikan  dalam kuliah dan ceramah tersebut. Tercenganglah mereka semua. Ternyata Bukhari menghafal di luar kepala 15 000 hadis, lengkap dengan keterangan yang tidak sempat mereka catat.

Berpandukan pada pendapat tersebut, dapat dikatakan bahawa Imam Bukhari merupakan seorang yang pintar dan cerdas. Beliau pada usia muda telah menunjukan kecintaan kepada ilmu hadis. Dalam menghimpun hadis-hadis sahih dalam kitabnya tersebut, Imam Bukhari menggunakan kaedah-kaedah penelitian secara ilmiah dan terperinci yang menyebabkan kesahahihan hadis-hadisnya. Beliau  berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk meneliti dan menyelidiki keadaan para perawi, serta berusaha mencari kesahihan hadis-hadis yang diriwayatkannya.

Keistemewaan Penulisan Kitab Hadis Sahih Imam Bukhari
Kedudukan hadis dalam Islam sebagai sumber hukum. Para ulama juga telah bersepakat bahawa dasar hukum Islam adalah al-Qur’an dan Sunnah iaitu al-Hadis. Kitab sahih Imam Bukhari telah memperoleh penghargaan tertinggi dari para ulama. Para ulama telah bersepakat bahawa Sahih al-Bukhari adalah satu-satunya kitab yang paling sahih sesudah al-Qur’an.[6]

Kitab Sahih Imam Bukhari diterima oleh para ulama secara sepenuhnya di setiap masa dan keistimewaan kitab Imam Bukhari yang diungkapkan oleh para ulama, diantaranya:

1. Imam al-Tirmidzi berkata: Aku tidak melihat dalam ilmu I’Ilal iaitu cacat yang tersembunyi  dalam hadis dan para tokoh hadis seorang yang lebih mengetahui dari Al-Bukhari.[7]
2. Ibn Khuzaimah berkata: Aku tidak melihat sesorang yang lebih mengetahui hadis Rasulullah SAW dan yang lebih hafalan daripada Muhammad bin Ismail Al-Bukhari.[8]
3. Al-Hafizh Adz-Dzahabi berkata: Dia adalah kitab Islam yang paling agung setelah kitab Allah.[9]

Di antara kelebihan daya ingatan dan kecerdasan Imam Bukhari ialah mampu membawa 100 pasangan sanad hadis dan matan yang sengaja diajukan oleh 10 ulama Baghdad semasa menguji kekuatan daya ingatan dan intelektual Imam Bukhari dalam periwayatan hadis. Semua itu dapat dijawab oleh Imam Bukhari dengan baik. Para ulama yang mengambil hadis dari Imam Bukhari antaranya yang sangat popular adalah Al-Tirmidzi, Imam Muslim, An-Nasai, Ibrahim bin Ishaq al-Hurri, Muhammad bin Ahmad Ad-Daulabi, Manshur bin Muhammad al-Bazdawi. Imam Bukhari meninggal dunia 1 Syawal 256 H/31 Ogos 870 M pada hari jum’at malam sabtu iaitu malam Hari Raya Idul Fitri dalam usia 62 tahun kurang 13 hari di Samarkand.[10]

Disamping cerdas, Imam Bukhari termasuk para ahli hadis yang kuat dan banyak hafalannya, sehingga para ulama menempatkan kitabnya hadis Sahih Bukhari kitab yang paling sahih setelah al-Qur’an. Namun disisi lain, terutama dari kalangan orientalis tidak berhenti mengkritik Imam Bukhari terutama tentang metod dan pola penyusunan kitab hadisnya.

Di antara kalangan dan tokoh orientalis yang mengkritik Imam Bukhari adalah, Ignaz Goldziher, seorang orientalis berasal dari Hungaria dari keluarga Yahudi yang menjadi pelopor pengkritik Imam Bukhari dalam periwayatan hadis. Prof. Dr. MM Azami dalam bukunya Dirasat fil Hadis an-Nabawi wa Tarikh Tadwinih menyatakan bahawa Ignaz Goldziher menuduh rujukan hadis yang dilakukan oleh ulama terdahulu terutama Imam Bukhari tidak dapat disahihkan secara ilmiah kerana kelemahan metodnya. Menurut Goldziher kerana para ulama lebih banyak menggunakan metod kritik sanad, dan kurang menggunakan metod kritik matan. Goldziher kemudian mencadangkan metod kritik baru iaitu kritik matan saja.[11] Apabila diteliti cadangan Ignaz Goldziher, sebenarnya para ulama terdahulu sudah menggunakan metod kritik matan. Apa yang dimaksud kritik matan oleh Ignaz Goldziher itu berbeza dengan metod kritik matan yang digunakan oleh para ulama. Menurutnya, kritik matan hadis itu mencakupi berbagai aspek seperti politik, sains, sosial dan lain-lain. Beliau mengatakan bahawa dalam kitab Sahih Bukhari, Imam Bukhari hanya melakukan kritik sanad dan tidak melakukan kritik matan. Sehingga setelah dilakukan kritik matan oleh Ignaz Goldziher, hadis itu ternyata palsu.

Diantara para penulis moden atau intelektual Islam yang berfikikiran orientalis ini adalah Profesor Ahmad Amin. Dalam bukunya Fajr al-Islam, beliau juga merendahkan ulama hadis secara umum. Kemudian secara khusus, Imam Bukhari dikritiknya. Katanya, “Kita melihat sendiri, meskipun tinggi reputasi ilmiahnya dan cermat penelitiannya, Imam Bukhari ternyata menetapkan hadis-hadis yang tidak sahih dilihat dari segi perkembangan zaman dan penemuan ilmiah, kerana penelitian beliau hanya terbatas pada kritik sanad saja. Menurut Ahmad Amin, banyak hadis-hadis Bukhari yang yang tidak sahih, atau secara tepatnya palsu. Diantaranya adalah sebuah hadis di mana Rasulullah SAW bersabda, “Seratus tahun lagi tidak ada orang yang masih hidup diatas bumi ini”. Hadis ini oleh Ahmad Amin dinilai palsu, kerana ternyata setelah seratus tahun sejak Rasulullah SAW mengatakan hal itu masih banyak orang yang hidup diatas bumi ini.

Seorang pakar hadis berasal dari Indonesia, Prof. Dr. Ali Musthafa Yaqub dalam bukunya kritik hadis menyatakan, adalah suatu tindakan yang sangat tidak ilmiah apabila ada orang yang terburu-buru menilai bahawa suatu hadis itu palsu menurut penilaiannya, kerana bertentangan dengan al-Qur’an dan bertentangan dengan hadis yang lain yang sedarjat kualitinya sebelum melihat karya tulisan para ulama terdahulu yang membahas masalah tersebut. Kejahilan seseorang dalam memahami maksud suatu hadis tidak dapat dijadikan alasan untuk menilai bahawa hadis tersebut palsu.[12]

Dengan demikian, bahawa para orientalis tidak ilmiah dalam menilai bahawa dalam hadis-hadis Imam Bukhari terdapat riwayat-riwayat yang palsu dan bertentangan dengan al-Qur’an, kerana kritikan mereka tidak ilmiah. Namun dalam berdasarkan kritikan yang dilakukan oleh tokoh-tokoh orientalis kepada Imam Bukhari, hanya perkara kecil iaitu dalam pola penyusunan hadis yang dilakukan oleh Imam Bukhari hanya menggunakan pendekatan sanad saja, beliau mengabaikan pengkajian hadis yang disandarkan kepada matan.

Disinilah yang menjadi perbezaan antara pola penyusunan kitab hadis antara Imam Bukhari dan Imam Muslim iaitu terletak pada sanad dan matan. Berdasarkan pada kitab hadis Imam Bukhari dan Imam Muslim, bahawa metod atau pola penyusunan kitab hadis yang dilakukan Imam Bukhari adalah menggunakan pendekatan kepada sanad, sedangkan Imam Muslim adalah menggunakan pendekatan sanad dan matan. Akan tetapi bahawa Imam Muslim lebih mengutamakan kepada pendekatan matan dibandingakan dengan gurunya Imam Bukhari.


[1] Dr. H. Abdul Majid Khon. ( 2008). Ulumul Hadits. Jakarta: Amzah. hlm 67-68
[2] Prof. Dr. Muhammad Alawi al-Maliki. (2006).  Ilmu Ushul Hadits.  Yogyakarta: Pustaka Pelajar. hlm 270
[3] Prof. Dr. H. Endang Soetari Ad.(2008).  Ilmu Hadits, Kajian Riwayat & Dirayah. Bandung: CV. Mimbar Pustaka. hlm 28
[4] http://webcache.gooleusercontent.kumpulanhadits shahih-bukhari/sejarah-singkat-imam-bukhari
[5] Prof. Dr. H. Endang Soetari Ad. (2008).  Ilmu Hadits, Kajian Riwayah & Dirayah. Bandung: CV. Mimbar Pustaka. hlm 281
[6] Prof. Dr. Muhammad Alawi Al-Maliki.( 2006).  Ilmu Ushul Hadits. Yogyakarta: Pustaka Pelajar.. hlm. 257
[7] Dr. H. Abdul Majid Khon.( 2008). Ulumul Hadits. Jakarta: Amzam. hlm. 259
[8] Ibid, hlm. 259
[9] Ibid, hlm. 259
[10] Dr. H. Abdul Majid Khon.( 2008). Ulumul Hadits. Jakarta: Amzah. hlm 67-68
[11] http://webcache.kumpulanhadits/shahihbukhari/sejarahsingkatimambukhari
[12] http://kumpulanhadits/shahihbukhari/sejarahsingkatimambukhari

1 comment:

Anonymous said...

saya nak tanya,apa sumber sebenar bagi huraian orientalis yang mengkritik imam bukhari ni? bagi key note 11 dan 12.