Kedudukan orang mukmin dalam kehidupan mereka diatas muka bumi ini dijelaskan oleh Allah SWT didalam al-Quran surah ali-Imran ayat 110 yang bermaksud
110. kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik.
Ayat ini Allah menyatakan ketinggian dan kemuliaan orang-orang mukmin beserta sifat-sifat yang menyebabkan mereka layak digelar ummah terbaik. Secara jelas ayat ini memperlihatkan usaha-usaha dakwah menyeru manusia supaya mentaati perintah Allah dan menjauhi larangan adalah usaha yang sangat mulia bahkan Allah memerintahkan agar orang-orang mukmin bersatu dan mengembeleng tenaga untuk melaksanakan perintahnya itu. Surah ali-Imran ayat 104 bermaksud
104. dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya.
Tuntutan dan suruhan sebegini sering kita dengan dan kita temui didalam al-Quran dimana Allah SWT memperingatkan Rasulnya dan orang-orang mukmin supaya melazimkan diri sebagai orang yang sentiasa menyeru kepada memahami dan menghayati ajaran Islam. Surah al-Nahl ayat 125 bermaksud
125. serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.
Oleh kerana dakwah merupakan satu lapangan yang sangat penting dalam kehidupan umat Islam, ia memerlukan kefahaman dan persediaan dalam menyampaikan dakwah ini.
No comments:
Post a Comment