Ramadhan sudah
berlalu hampir separuh. Nampaknya masa berjalan begitu cepat sekali. Semua
orang merasakan terlalu pantas masa berjalan, sehingga tidak sedar bahawa puasa
sudah hampir separuh Ramadhan. Benarlah ini tanda akhir zaman sebagaimana nabi
SAW peringatkan . Sabda Rasulullah SAW.
“Tidak berlaku kiamat sehinggalah
jarak masa menjadi dekat. Setahun seperti sebulan, sebulan seperti seminggu.
Seminggu seperti sehari. Sehari seperti sejam. Sejam seperti api yang menyambar
bahan bakar”.
Cuba kita
bayangkan dulu jika kita berpuasa memang terasa begitu lama. Sekarang
sebaliknya. Ini adalah petanda dunia sudah tua, ia akan menemui ajal yakni
kiamat. Bagi kita ahli
Pas rebutlah peluang Ramadhan yang masih berbaki, terutama di malam sepuluh
terakhir bagi merebut Lailatul Qadar. Perbanyakkan berdoa kerana ia adalah
senjata mukmin yang paling kukuh untuk menghadapi cabaran masa depan. Mohonlah
kepada Allah agar Allah berikan kekuatan Iman dan istiqamah dan kemenangan
kepada perjuangan Islam di negara ini.
Beberapa perkara
yang boleh kita muhasabah diri kita apabila separuh Ramadhan berlalu. Apakah
ada peningkatan amal kita di dalam amalan sunat kita di dalam bulan Ramadhan
ini. Jika tidak, cepat-cepat perhebatkan, kerana masih ada peluang. Ramadhan
ialah bulan ibadah. Semua amalan digandakan oleh Allah yang maha pemurah kepada
kita. Sebagaimana Nabi SAW bersabda “Siapa yang melakukan satu fardhu
digandakan sampai tujuh puluh fardu, siapa yang melakukan amalan sunat, maka ia
menyamai satu fardu”.
Ayuh jangan
lepaskan peluang ini. Perbanyakkan amalan sunat kerana ia menampung kekurangan
amalan fardu yang kita lakukan selama ini. Solat tarawih jangan diabaikan.
Tidak kiralah berapa kita mahu amalkan dari segi bilangan rakaat. Tidak perlu
perbesarkan soal bilangan rakaat, kerana ia hanya sunat muakkad. Kesemuanya ada
hujah masing-masing. Tidak perlulah polimik bilangan ini dibawa ke dalam jamaah
sehingga membawa kepada masam muka di kalangan ahli jamaah. Perkara yang sudah
lama dibincang sejak dahulu lagi. Apa yang penting ialah kita buat. Bukan
perkara bilangan yang hendak kita polimikkan. Tidak ada makna jika perkara ini
diperbesarkan sedangkan masalah Islam dihina, hukum Allah diketepikan,
penindasan dan ketidak adilan berluasa di dalam masyarakat.
Apa yang
penting, biarlah ruh tarawih dihayati oleh kita semua. Tidak ada makna jika
buat lapan atau dua puluh, tetapi ruhnya hilang. Biarlah buat dengan tenang dan
tertib. Imamnya membaca dengan keadaan tartil dan tenang.
Janganlah kita
sebagai pejuang Islam sibuk hendak mencari imam yang cepat habis solat. Tidak
elok sangatlah kita jika kita bersikap sedemikian. Tarawih hanya ada pada bulan
Ramadhan sahaja, tidak seperti ibadah lain setiap hari dan sepanjang bulan.
Siapa boleh jamin kita mampu bertemu lagi di bulan Ramadhan akan datang. Berapa
ramai kenalan, ahli keluarga, jiran kita yang tidak diberi peluang oleh Allah
untuk bertemu Ramadhan pada tahun ini. Mungkin tahun depan kita juga tidak
sempat bertemu Ramadhan. Oleh itu anggaplah Ramadhan ini terahir kepada kita.
Azamlah terbaik untuk Ramadhan pada kali ini.
Bagaimana pula
dengan al-Quran? Sudah berapa juzuk dihabiskan?. Mesti berazam supaya al-Quran
dapat dikhatamkan. Amat memalukan kita sebagai ahli Pas terutama yang bertaraf
pemimpin daripada pusat sehingga cawangan jika tidak mampu menghabiskan
al-Quran sepanjang Ramadhan ini. Apa makna al-Quran menjadi rujukan parti, jika
kita tidak membaca. Ketika masyarakat menolak kandungan al-Quran, jangan pula
kita sebagai pejuang agama Allah tidak membaca al-Quran. Kerana membaca
al-Quran adalah ibadah yang terbaik. Sebagaimana nabi SAW bermaksud
“Sebaik-baik ibadah ialah membaca al-Quran”
Sesibuk mana
sekalipun al-Quran tidak boleh disampingkan. Kita mampu habiskan al-Quran di
dalam Ramadhan jika disiplinkan diri. Kebiasaan satu juzuk mempunyai 10 helai.
Jika setiap waktu sebelum dan selepas solat sehelai insyaAllah, lima waktu
dapat satu juzuk. Ertinya jika sebulan dapat khatam al-Quran.
Alhamdulillah
kebanyakan masjid di kendalikan oleh orang yang minat dnegan Islam akan mengadakan
tazkirah. Ini merupakan langkah yang bijak untuk proses pencerahan ilmu di
dalam masyarakat. Kesempatan ini diambil dengan kehadiran mereka yang tidak
berapa jinak dengan masjid. Selalunya akan hadir ke masjid untuk menunaikan
solat tarawih. Cuma perlu ada kebijaksanaan untuk menghuraikan isi tazkirah
yang membangkit kesedaran beragama dan rasa ingin kepada akhirat. Biarlah
masanya jangan melebihi 30 minit, isinya tepat dan padat. Bagi ahli Pas jangan
lepaskan peluang ini untuk mendapat motivasi dan maklumat yang membolehkan kita
istiqamah di dalam perjuangan berlandaskan ilmu. Penuhilah dan renunglah
butir-butir mutiara yang dikeluarkan oleh pentazkirah agar ia boleh
menghidupkan hati supaya terus bersinar di dalam diri kita.
Ambillah peluang
untuk sama-sama bangun dan bermunajat kepada Allah terutama di waktu dini hari
(sahur) kerana ia adalah waktu yang mustajab Allah perkenankan permintaan
hambanya. Perjuangan kita amat kritikal kehadapan. Musuh tidak akan biarkan
kita meraih kemenagan dengan permaidani merah, mereka akan buat apa sahaja
asalkan cita-cita mereka tercapai. Soal moral, dosa, pahala, syurga, neraka
bukan perhitungan mereka. Mereka sudah buta hati dan hilang rasioanal. Apabila
dunia sudah beraja di hati, maka agama diketepikan di dalam tindakan mereka.
Maka Allahlah yang mesti dijadikan tempat pengaduan kita, dan penyerahan yang
bulat kepadanya. Tidak ada kuasa yang akan dapat menandingi kuasa Allah.
Firaun, Namrud, Haman megah dengan kuasa akhirnya tersungkur dengan kehendak
Allah SWT.
No comments:
Post a Comment