I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, 14 October 2011

TABIAT MANUSIA MENURUT ISLAM


Al-Jiasi (1976 dlm. Ghafani, 2006) mengatakan ada empat peringkat nafsu yang mempengaruhi tabiat manusia iaitu, nafsu amarah, nafsu lawwamah, nafsu mulahamah, dan nafsu mutma'innah. Nafsu ammarah adalah nafsu yang sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan. Pada peringkat ini manusia tidak dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk. Sebaliknya, nafsu lawwamah mula menunjukkan kelemahan diri, insaf dengan tabiat masa lampau dan mahu memulakan kehidupan yang positif.
Nafsu mulahamah adalah nafsu yang menerima kebenaran dan keinsafan. Seseorang individu yang memiliki nafsu jenis ini akan merasa seronok apabila melakukan perkara-perkara yang baik dan merasa gelisah apabila melakukan kejahatan.
Nafsu mutma'innah yang disebutkan dalam Al-Qur'an 89:27 ((setelah menerangkan akibat orang-orang Yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan Bahawa orang-orang Yang beriman dan beramal soleh akan disambut Dengan kata-kata): "Wahai orang Yang mempunyai jiwa Yang sentiasa tenang tetap Dengan kepercayaan dan bawaan baiknya!) sering diidamkan oleh mereka yang sentiasa mentaati perintah Allah seperti para nabi dan rasul, as-sadiqin (orang-orang yang sangat benar di sisi Allah), as-salihin (orang-orang yang salih di sisi Allah), al-muqarrabin (orang-orang yang dekat dengan Allah), al-muttaqin (orang-orang yang bertakwa di sisi Allah), al-mu'minin (orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah) dan al-muslim (orang-orang yang menyerah diri kepada Allah). Mereka yang memiliki nafsu ini bererti telah mencapai kedamaian dan kebahagiaan yang sebenar dan abadi di sisi Allah.                                                                                                       
Menurut Ibnu Maskawayh, seorang ahli falsafah dan pakar Ilmu akhlak, pertembungan nafsu di dalam diri manusia menghasilkan tiga jenis tabiat manusia iaitu:
1.   Manusia yang baik tabiatnya iaitu manusia yang tidak akan berubah menjadi manusia yang jahat.
2.   Manusia yang jahat tabiatnya iaitu manusia yang tidak akan menjadi baik kerana memang pembawaannya    yang jahat.
3.  Manusia yang berada di pertengahan yang boleh berubah menjadi baik bergantung kepada pendidikan dan persekitaran yang diterimanya.
     
(petikan daripada assignment akhlak)

No comments: