I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, 5 April 2012

PRINSIP DAN MATLAMAT HIDUP



Seorang Muslim yang benar-benar beriman kepada Allah swt hendaklah mempunyai matlamat hidup yang berbeza dengan bukan Islam. Seorang muslim akan memegang teguh pada prinsip hidup Islam di mana sahaja dia berada. Dia tidak akan mudah terpengaruh dengan alam sekeliling. Ini kerana jiwa yang disuburkan oleh iman tidak akan terjerumus ke dalam kerosakan yang berlaku di sekelilingnya.

Muslim sejati tidak akan mudah menerima cara hidup yang berlainan dari yang ada dalam Islam, walau dia tercampak di tengah kehidupan jahiliah atau masyarakat bukan Islam yang tidak kenal Tuhan. Dia cukup sedar matlamat Allah menjadikan dirinya sebagai manusia di muka bumi ini bukan untuk bermain-main dan berseronok-seronok. Amat berbeza dengan kejadian seekor binatang yang hanya berkehendak kepada makan, minum, beranak-pinak dan mati. Setelah mati, binatang tidak akan berhadapan dengan soal Mungkar dan Mungkar. Tiada Hari Pembalasan di Padang Mahsyar.

Firman Allah swt dalam surah Az-Zariyat ayat 56:

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Ayat di atas telah mengajar kita matlamat kejadian manusia yang amat jelas iaitu tunduk dan patuh melaksanakan ibadah kepada Allah swt. Ini juga merupakan peranan, tugas dan tanggungjawab muslim sebagai hamba Allah swt.

Muslim yang sentiasa ingat bahawa dia adalah hamba Allah akan sentiasa rasa malu, hina diri, lemah, sentiasa meminta dan berharap kepada Allah swt. Dia juga seorang yang sentiasa redha dengan setiap takdir yang menimpanya kerana dia sedar semuanya adalah datang dari Allah swt. Keyakinan inilah menjadikan dia sabar dengan setiap ujian yang menimpa, malah sentiasa berusaha untuk menambahkan taat kepada perintah Allah, cintanya kepada Allah makin bertambah dan dia tidak pernah merasa kecewa jika ramai manusia tidak menyukainya tetap teguh melaksanakan syariat Allah kerana dia yakin bahawa Allah akan sentiasa bersamanya. Wallahu a’lam.

No comments: