Seluruh umat Islam digesa melibatkan diri dalam proses pilihanraya PRU ke13 yang bakal berlansung dengan mendaftar sebagai pengundi dan terlibat secara agresif dalam kempen-kempen pilihanraya bagi memilih pemimpin yang baik menurut Islam.
Inilah yang dilakukan oleh para Sahabat Nabi saw secara ijma' dan sepakat sebaik kewafatan baginda saw pada hari isnin 12 Rabi'ul Awal. Urusan pengkebumian Rasulullah saw telah ditangguhkan sehingga dua hari dua malam kerana mendahulukan urusan pemilihan Khalifah yang bakal menggantikan baginda saw sebagai pemimpin dan pemerintah negara Islam sehingga akhirnya terpilihnya Sahabat Nabi saw bernama Abu Bakar r.a. sebagai Khalifah menggantikan baginda saw. Oleh itu ulama-ulama yang membicarakan tentang politik pemerintahan dalam Islam seperti Abu Ya'la al-Farra' ( meninggal tahun 458 h) dalam karyanya al-Ahkam al-Sultaniyyah menegaskan bahawa " melantik khalifah dan pemerintah adalah satu kewajipan". Malah Imam Ahmad pengasas Mazhab Hambali menegaskan; "fitnah akan berlaku sekiranya tiadanya pemerintah menguruskan urusan manusia."
Atas dasar ini umat Islam tidak boleh memandang ringan urusan pendaftaran sebagai pengundi yang melayakkan mereka memilih pemimpin dalam PRU ke13. Kegagalan mendaftar sebagai pengundi bererti membiarkan orang lain menentukan siapakah pemerintah negara pada masa akan datang. Akhirnya ia memberi kesan secara langsung kepada tertegaknya atau runtuhnya agama. Oleh itu sangat tidak wajar bagi orang beragama membiarkan urusan pemerintahan dikuasai oleh golongan yang jauh daripada agama hingga akhirnya membawa kepada kerosakan dalam pengurusan harta negara dengan polisi-polisi pemerintahan yang songsang dan menyeleweng daripada landasan Islam.
Malah Nabi Yusof alaihissalam telah meminta untuk menjadi pengurus harta negara kerana kebimbangan ianya dikuasai oleh golongan yang rosak akhlak dan tidak berkelayakan sebagaimana tawaran baginda yang dirakamkan oleh al-Quran dalam surah Yusof ayat 55 bermaksud: "Jadikan saya penjaga khazanah bumi kerana saya seorang pemegang amanah (Hafiiz) lagi berilmu."
Dalam keadaan dunia akhir zaman yang dipenuhi oleh golongan yang fasiq melanggar perintah Allah, orang-orang beragama perlu tampil menawarkan diri menjadi pemerintah untuk mengelakkan negara dikuasai oleh golongan yang rakus untuk menjadi pemerintah tetapi dalam masa yang sama mempunyai kerosakan akhlak dan perangai.
Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Ust Dr Khairuddin Aman Razali
No comments:
Post a Comment