Kewajipan kaffarah ke atas
orang yang membatalkan puasa dengan sengaja.
Orang-orang yang berbuka puasa
atau membatalkan puasanya dengan sengaja –tanpa ada keuzuran Syara’- ada dua
jenis:
1. Membatalkan puasa dengan
bersetubuh.
Bagi kes ini, ijma’ para ulama’
menyatakan bahawa orang yang melakukannnya wajib membayar kaffarah di samping
wajib mengqadha’ puasanya. Kaffarah tersebut hendaklah mengikut urutan di
bawah:
a) Membebaskan seorang hamba
mukmin sama ada lelaki atau wanita
b) Jika tidak didapati atau tidak
mampu, hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut (yakni tanpa selang),
c) Jika tidak mampu, hendaklah ia
memberi makan 60 orang miskin dengan setiap orang satu cupak makanan asasi
penduduk setempat. Bagi penduduk di Malaysia ini, makanan asasinya ialah beras.
Huraian lebih lengkap tentang
hukum kaffarah ini seperti berikut:
a) Termasuk dalam erti
persetubuhan yang mewajibkan kaffarah (apabila cukup syarat-syaratnya ialah:
mensetubuhi faraj, dubur (iaitu meliwat), persetubuhan melalui zina atau syubhah
atau dalam nikah yang fasid, sama ada mensetubuhi lelaki atau perempuan,
manusia atau binatang. Persetubuhan-persetubuhan ini memberi kesan yang sama
kepada puasa jika cukup syarat-syaratnya iaitu:
(1) Mewajibkan qadha’ puasa.
(2) Mewajibkan kaffarah.
b) Syarat yang mewajibkan
kaffarah itu ada lima, iaitu:
i) Hendaklah orang yang melakukan
persetubuhan mengingati bahawa ia sedang berpuasa. Jika ia terlupa –semasa
sedang melakukan persetubuhan itu- bahawa ia sedang berpuasa, tidaklah batal
puasanya dan tidak wajib atasnya kaffarah.
ii) Ia mengetahui bahawa
perbuatan tersebut adalah haram bagi orang yang sedang berpuasa.
iii) Persetubuhan itu bukan
berlaku kerana paksaaan
iv) Puasa yang dibatalkan dengan
persetubuhan itu adalah puasa Ramadhan. Jika puasa yang dibatalkan itu adalah
puasa qadha’, puasa nazar atau puasa kaffarah, maka tidaklah wajib kaffarah
kerana hadis Nabi s.a.w. hanya menggkhususkan puasa Ramadhan dengan kaffarah
tersebut, tidak puasa-puasa yang lain.
v) Ia bukan orang yang mendapat
rukhsah kerana musafir. Maka seorang musafir yang membatalkan puasanya dengan
bersetubuh, tidak wajib kaffarah ke atasnya kerana Syara’ memberi keharusan
kepada musafir untuk berbuka.
c) Menurut mazhab Syafi’ie,
kaffarah hanya dikenakan ke atas lelaki sahaja tidak ke atas perempuan. Jadi,
apabila suami dan isteri bersetubuh di siang hari di bulan Ramadhan, yang
diwajibkan menunaikan kaffarah ialah si suami sahaja.
d) Apabila berbilang hari berlaku
persetubuhan maka berbilang jugalah kaffarah yang mesti ditunaikan. Contohnya,
jika persetubuhan belaku pada empat hari, maka kaffarah yang mesti ditunaikan
ialah empat juga.
e) Adapun jika persetubuhan
berlaku berulang-kali pada hari yang sama, maka kaffarah yang dikira hanya
sekali sahaja.[1]
f) Bagaimana jika seseorang itu
membatalkan puasa dengan perkara lain selain persetubuhan (seperti dengan
makan), kemudian setelah puasanya batal barulah ia bersetubuh dengan isterinya,
apakah wajib ke atasnya kaffarah? Jawapannya ialah; ‘tidak wajib’ kerana
kafffarah diwajibkan ke atas orang yang membatalkan puasanya dengan jima’
(persetubuhan). Dalam masalah ini, puasa itu batal dengan sebab makan, adapun
persetubuhan maka ia berlaku setelah terbatalnya puasa.
2. Membatalkan puasa dengan
perbuatan yang lain dari bersetubuh (seperti makan, minum, mengeluarkan mani
melalui cara lain dari bersetubuh seperti dengan tangan, menontot filem lucah,
berkhayal atau sebagainya).
Tidak ada khilaf di kalangan
ulama’ bahawa orang yang membatalkan puasanya dengan makan, minum dan
mengeluarkan mani dengan tangan atau sebagainya tersebut, ia wajib
mengqadha’kan puasanya itu. Namun apakah ia wajib membayar kaffarah sebagaimana
orang yang membatalkan puasanya dengan bersetubuh tadi? Dalam hal ini terdapat
dua pandangan:
Pendapat pertama: Imam Malik, Abu
Hanifah, ath-Thauri dan beberapa ulama’ lagi mereka berpandangan; Orang yang
sengaja membatalkan puasanya dengan makan atau minum, wajib ke atas mereka
Qadha’ dan Kaffarah sebagaimana orang yang sengaja membatalkan puasa dengan
bersetubuh. Ini kerana tujuan perbuatan mereka adalah sama iaitu berbuka puasa
dengan sengaja (tanpa ada keuzuran yang diakui oleh Syara’) di mana mereka
telah mencabul kehormatan puasa dan bulan Ramadhan.
Pendapat kedua: Imam Syafi’ie,
Ahmad dan ahli Dzahir berpandangan; yang wajib ke atasnya orang yang
membatalkan puasa dengan perkara selain persetubuhan (sama ada dengan makan,
minum atau mengeluarkan mani dengan tangan dan sebagainya selain bersetubuh)
hanyalah qadha’ sahaja, tidak wajib kaffarah. Ini kerana hadis hanya
mengkhususkan kaffarah ke atas orang yang membatalkan puasanya dengan
bersetubuh sahaja.
Nota Kaki;
[1] Hanya persetubuhan yang
membatalkan puasa sahaja yang mewajibkan kaffarah. Jadi apabila persetubuhan
berlaku berulang-kali pada hari yang sama, sudah tentunya persetubuhan kali
pertama yang membatalkan puasa. Adapun persetubuhan-persetubuhan yang lain,
maka ia berlaku setelah puasa telahpun batal.