Maka yang menimbulkan perpecahan bukanlah beberapa ijtihad, tetapi apabila sesuatu ijtihad telah dipegang dengan yakin, dan tidak boleh ditinjau atau diubah lagi. Lalu timbullah berbagai mazhab, dan tiang mazhab mengatakan bahawa pihak merekalah benar. Kadang-kadang ternyata pendapat seorang mujtahid itu setelah diselidiki dengan saksama, berbeza dengan maksud sesuatu hadis yang sahih. Hadis sahih itu tidak dipakai orang kerana orang telah memegang hasil ijtihad imamnya dengan tidak mahu beranjak lagi dan timbullah perpecahan.
Imam yang empat tidak berselisih. Mereka sendiri hormat menghormati didalam pendapat masing-masing dan dapat bertolak ansur. Tetapi pengikut yang datang di belakang telah berpecah seakan-akan mazhab menjadi suatu agama tersendiri, sampai menjadi pembicaraan didalam kalangan mazhab Hanafi adakah boleh seorang lelaki bermazhab Hanafi berkahwin dengan seorang wanita dari mazhab Syafi’e. Di Mekah sendiri, pusat perhimpunan kiblat kaum muslimin pernah beratus tahun dahulu terjadi sembahyang berjemaah di masjidil haram empat imam bergilir-gilir di tiap-tiap waktu kerana pengikut mazhab tidak mahu mengikut imam mazhab yang lain disebabkan amalan dalam furu’ ada perbezaan kecil. Barulah pada tahun 1952 setelah Makkah dipegang oleh Ibn Sa’ud, sembahyang berjemaah dijadikan hanya satu kalidi tiap-tiap waktu.
Bersambung….