Pada bulan ramadhan berlaku peristiwa penting iaitu perang badar yang menentukan kewujudan umat Islam dan kelangsungan dakwah islamiah.
Perang badar yang berlaku pada pagi Jumaat 17 ramadhan tahun ke-2 hijrah adalah peristiwa jihad yang besar dalam sejarah umat Islam. Peperangan tersebut adalah pertembungan antara iman dan kufur.
Umat Islam yang terdiri daripada Ansar dan Muhajirin bersatu mempertahankan Islam dalam satu kekuatan dan semangat jihad yang tinggi. Tentera Islam hanya seramai 313 manakala musyrikin seramai 1000 orang. Tambahan pula kelengkapan perang sedikit berbanding kelengkapan yang dimiliki tentera musyrikin.
Semua umat Islam terlibat dalam peperangan ini, iaitu golongan remaja hinggalah kepada golongan dewasa. Rasulullah memberikan bendera islam kepada Mus’ab bin Umair, bendera muhajirin diserahkan kepada Ali bin Abi Thalib. Bendera kaum ansar diserahkan kepada Saad bin Muaz. Golongan remaja diwakili oleh Umair bin Abi Waqas, berusia hanya enam belas tahun tetapi memiliki semangat jihad yang tinggi.
Peperangan Badar telah memperlihatkan secara praktikal keteguhan iman sahabat RA, satu tanzim yang sangat baik dan penuh pengorbanan. Banyak pengorbanan yang boleh diambil daripada perang tersebut. Antaranya ialah:
1. Kepimpinan bijaksana
Rasulullah SAW menjadi contoh terbaik sebagai pemimpin untuk diikuti oleh pemimpin sekarang ini. Dalam perang Badar baginda sendiri berada di tengah-tengah medan memberi arahan dan menyuntik semangat kepada tentera Islam.
2. Tanggungjawab bersama
Rasulullah SAW bersama-sama para sahabat berpenat lelah di medan perang. Baginda bergilir-gilir menunggang kenderaan dengan Ali dan Mirsad. Pemimpin yang tidak membesarkan diri akan disenangi pengikutnya.
3. Pengorbanan yang tinggi
Para sahabat berjuang dengan penuh keimanan dan pengorbanan yang tinggi. Semua tugas dilaksanakan dengan ikhlas dan berlumba-lumba. Perjuangan yang disertai keikhlasan akan mendapat pertolongan Allah SWT.
4. Sifat tegas
Dalam keadaan perang yang memerlukan ketegasan, tetapi Rasulullah SAW tetap tegas dan berhemah dengan pengikutnya. Keadaan ini mewujudkan rasa sayang yang jitu dalam kalangan sahabat dan tidak lari daripada perintah.
5. Perancangan berstrategi
Peperangan adalah kepintaran menundukkan musuh. Taktik dan perancangan yang berstrategi hendaklah digunakan menghadapi musuh. Organisasi yang kemas dan perancangan strategi yang teratur membantu kemenangan umat Islam terutamanya dalam medan perang.
Perang badar yang berlaku dalam bulan ramadhan memberi kekuatan kepada umat Islam meskipun berpuasa. Ibadah puasa menjana iman dan semangat mereka untuk berjuang dan berkorban ke tahap maksimum. Perjuangan yang bertolak dari keikhlasan kepatuhan kepada pemimpin dan perancangan strategi yang berkesan telah membuka pintu pertolongan Allah SWT dan seterusnya meraih kemenangan.
No comments:
Post a Comment