I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, 25 August 2011

LEMAHNYA PEMBENTUKN USRAH DALAM KALANGAN ANAK MUDA


"Kepentingan Usrah tidak perlu dibahaskan lagi kerana ia merupakan agenda yang telah direncanakan oleh Rasulullah s.a.w bahkan dilaksanakan dizaman baginda dan golongan yang mengikut jejak langkah Rasulullah s.a.w. Apa yang menjadi masalah, usrah merupakan suatu istilah yang tidak difahami oleh golongan tertentu. Apa yang lebih malang adalah memahami kepentingan usrah tetapi mengabaikan keterlibatan untuk mengikuti usrah-usrah yang diadakan apalagi dikalangan pemuda dan remaja hari ini.
Siapa yang bertanggungjawab sebenarnya? Ramai dikalangan kita memahami kepentingan usrah bahkan mengetahui kesan terhadap seseorang yang sentiasa mengikuti usrah. Kesannya adalah perubahan pada seseorang yang dapat dilihat sekiranya sering mengikuti usrah di mana perubahan ini membimbangkan golongan yang tidak ada rasa cinta terhadap islam apalagi perjuangan islam. Sistem tarbiyyah melalui usrah ini amat berkesan dan kita dapat melihat ianya merupakan agenda awal yang diatur oleh baginda sewaktu berada di Mekah; dilaksanakan di rumah Arqam bin Abi Arqam.
Justeru, setiap daripada kita tidak boleh meninggalkan agenda dakwah dengan meninggalkan usrah sebagai tunjang tarbiyyah untuk terus mara kehadapan disaat berada di medan dakwah. Hari ini kita melihat keadaan anak muda yang begitu teruk diabaikan sistem pendidikan sebenar terhadap mereka sehingga akhirnya bebas melakukan apa sahaja. Kita dapat melihat sistem pendidikan islam adalah pilihan terakhir kebanyakan ibu bapa hari ini. Kerana apa??? Kepentingan akademik diutamakan  daripada kepentingan agama. Justeru, mereka yang berada di sekolah-sekolah agama adalah terdiri dikalangan mereka yang rosak akhlaknya menyebabkan tugas guru-guru agama menjadi berat berpunca daripada sikap ibu bapa itu sendiri.
Mengapa agama menjadi pilihan terakhir?? Apakah kita bimbang untuk mendidik anak-anak dengan pendidikan islam? Tidakkah kita yakin dengan janji Allah berkenaan dengan rezeki yang Allah tuliskan untuk setiap manusia setelah roh ditiupkan kepadanya sejak berada di alam rahim. Oleh itu, kami pihak pemuda mengajak seluruh rakyat Malaysia berfikir tentang perkara ini dan bukanlah bermakna semuanya perlu dihantar ke sekolah agama.
Bagi mereka yang tidak dapat pendidikan keagamaan yang khusus perlu kepada Usrah dan program-program yang lain. Di sinilah pentingnya peranan ibu bapa perlu membiarkan anak-anak mereka bebas mengikuti usrah bukan membiarkan anak-anak bebas keluar rumah bergaul dengan rakan-rakan yang tidak diketahui akhlaknya. Dalam konteks ini, Parti Islam Se Malaysia (PAS) memainkan peranan yang besar dalam mewujudkan usrah dikalangan pemuda dalam bentuk yang boleh menarik pemuda. Pada masa yang sama ada pengisian terhadap mereka yang memberikan manfaat untuk pembentukan rohani atau jasmani mengikut syariat islam. Besarnya peranan PAS adalah kerana ianya merupakan sebuah Parti Islam yang memperjuangkan Islam dan jamaah yang paling terkenal di Malaysia serta diketahui umum termasuk mereka yang berada di Luar Negara.
Oleh yang demikian, Pemuda Pas Dun Chukai(PPDC) mengharapkan keterlibatan anak muda dalam bersama mengikuti usrah yang diadakan di seluruh Malaysia mengikut kaedah dan kesesuaian di tempat masing-masing. Kita juga mengharapkan keterlibatan ibu bapa dalam menggalakkan anak-anak untuk mengikuti Usrah yang diadakan. Ibu bapa hanya perlu berhubung dengan pimpinan PAS di kawasan masing-masing untuk menyerahkan anak-anak mereka bagi tujuan tarbiyyah seperti mana yang diatur oleh Rasulullah dizaman awal Islam. Sekali lagi kami mengharapkan keterlibatan semua pihak bagi menjayakan agenda yang besar dan dapat memberikan impak yang besar sekiranya Berjaya dilaksanakan apalagi dalam menghadapi PRU-13 yang sudah tidak lama lagi diadakan.
Ditulis Oleh maududi >>> http://ppdcgroup.blogspot.com/2011/08/galakkan-usrah-dikalangan-pemuda.html

Sunday, 21 August 2011

TIDAK ADA PERHATIAN DALAM MEMAHAMI AGAMA


Sebahagian besar pemuda di antara mereka mencintai Allah, Rasul, dan hari akhirat. Mereka mempunyai gambaran global dan umum tentang Islam. Namun banyak di antara mereka tidak memiliki pengetahuan tentang syariat.
Mereka memang menghadiri kuliyah. Namun hanya sedikit sahaja yang datang kepada ulama di antara mereka. Hal ini merupakan suatu kekurangan kepada pemuda hari ini. Nabi muhamad SAW bersabda dalam sahih Bukhari dan Muslim,
من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين
“Barangsiapa yang dikehendaki Allah memperoleh kebaikan, nescaya Allah akan memahamkannya dengan agama”
Wahai para pemuda Islam…wahai dai’e..kita diharapkan mendalami ilmu agama dengan sempurna. Namun masalahnya di sini, kita tidak pernah membaca dan tidak suka membaca kecuali orang yang dirahmati Allah

Saturday, 13 August 2011

DOA PENERANG HATI


Ya Allah, Tuhan yang mengajar nabi Ibrahim akan hikmat, ajarkan kami, ya Allah Tuhan yang mengajar nabiSulaiman akan kefahaman, berilah kefahamn kepada kami.
Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum Yang lebih tepat bagi masalah itu; dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak); dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama Dengan Nabi Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu.
(Surah al-Anbiya’ayat 79)
Wahai Tuhan nabi Sulaiman, juga wahai Tuhan nabi Ibrahim, wahai Tuhan nabi Musa dan Isa, wahai Tuhan nabi Muhammad SAW, selamatkanlah kami daripada kegelapan kejahilan dan lupa, dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Amat Mengasihani daripada segala-galanya . Ya Allah tambahkanlah ilmu kepada kami, dan anugerahkan kepada kami cahaya dengan cahaya ilmu, dan jauhkan kami daripada lupa dengan dengan rahmatMu, wahai Tuhan yang Amat Mengasihani daripada segala-galanya. Ya Allah anugerahkanlah kami kefahaman nabi-nabi dan hafalan para rassul dengan rahmatMu, wahai Tuhan yang Amat Mengasihani daripada segala-galanya. Segala puji itu bagi Allah Tuhan sekalian alam.      

Wednesday, 10 August 2011

SUNTIKAN JIHAD DALAM PEPERANGAN BADAR

 Pada bulan ramadhan berlaku peristiwa penting iaitu perang badar yang menentukan kewujudan umat Islam dan kelangsungan dakwah islamiah.
Perang badar yang berlaku pada pagi Jumaat 17 ramadhan tahun ke-2 hijrah adalah peristiwa jihad yang besar dalam sejarah umat Islam. Peperangan tersebut adalah pertembungan antara iman dan kufur.
Umat Islam yang terdiri daripada Ansar dan Muhajirin bersatu mempertahankan Islam dalam satu kekuatan dan semangat jihad yang tinggi. Tentera Islam hanya seramai 313 manakala musyrikin seramai 1000 orang. Tambahan pula kelengkapan perang sedikit berbanding kelengkapan yang dimiliki tentera musyrikin.
Semua umat Islam terlibat dalam peperangan ini, iaitu golongan remaja hinggalah kepada golongan dewasa. Rasulullah memberikan bendera islam kepada Mus’ab bin Umair, bendera muhajirin diserahkan kepada Ali bin Abi Thalib. Bendera kaum ansar diserahkan kepada Saad bin Muaz. Golongan remaja diwakili oleh Umair bin Abi Waqas, berusia hanya enam belas tahun tetapi memiliki semangat jihad yang tinggi.
Peperangan Badar telah memperlihatkan secara praktikal keteguhan iman sahabat RA, satu tanzim yang sangat baik dan penuh pengorbanan. Banyak pengorbanan yang boleh diambil daripada perang tersebut. Antaranya ialah:
1.      Kepimpinan bijaksana
Rasulullah SAW menjadi contoh terbaik sebagai pemimpin untuk diikuti oleh pemimpin sekarang ini. Dalam perang Badar baginda sendiri berada di tengah-tengah medan memberi arahan dan menyuntik semangat kepada tentera Islam.
2.      Tanggungjawab bersama
Rasulullah SAW bersama-sama para sahabat berpenat lelah di medan perang. Baginda bergilir-gilir menunggang kenderaan dengan  Ali dan Mirsad. Pemimpin yang tidak membesarkan diri akan disenangi pengikutnya.
3.      Pengorbanan yang tinggi
Para sahabat berjuang dengan penuh keimanan dan pengorbanan yang tinggi. Semua tugas dilaksanakan dengan ikhlas dan berlumba-lumba. Perjuangan yang disertai keikhlasan akan mendapat pertolongan Allah SWT.
4.      Sifat tegas
Dalam keadaan perang yang memerlukan ketegasan, tetapi Rasulullah SAW tetap tegas dan berhemah dengan pengikutnya. Keadaan ini mewujudkan rasa sayang yang jitu dalam kalangan sahabat dan tidak lari daripada perintah.
5.      Perancangan berstrategi
Peperangan adalah kepintaran menundukkan musuh. Taktik dan perancangan yang berstrategi hendaklah digunakan menghadapi musuh. Organisasi yang kemas dan perancangan strategi yang teratur membantu kemenangan umat Islam terutamanya dalam medan perang.
Perang badar yang berlaku dalam bulan ramadhan memberi kekuatan kepada umat Islam meskipun berpuasa. Ibadah puasa menjana iman dan semangat mereka untuk berjuang dan berkorban ke tahap maksimum. Perjuangan yang bertolak dari keikhlasan kepatuhan kepada pemimpin dan perancangan strategi yang berkesan telah membuka pintu pertolongan Allah SWT dan seterusnya meraih kemenangan.

Sunday, 7 August 2011

RAMADHAN: PERBANYAKKAN MOHON AMPUN


Setiap kita mempunyai dosa samada dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja.  Apatah lagi kita yang hidup pada zaman mutakhir ini, kita sering kalah dengan godaan luaran dan pujukan nafsu dalam diri kita sendiri.  Kita sepatutnya berasa malu dengan ALLAH Subhanahu wa Ta’ala disebabkan oleh kelemahan ini.
Walaupun begitu, ALLAH Subhanahu wa Ta’ala sentiasa tahu kelemahan kita.  DIA tahu kita selalu lupa.  DIA tahu kita sering gagal menghindari dosa.  Dan DIA tahu fitrah manusia yang mahu kembali kepadaNYA.  Betapa baiknya DIA, betapa lembutnya DIA dengan kita.  Kita seharusnya berterima kasih dengan sungguh-sungguh kerana DIA sentiasa bersedia memberi keampunan kepada hamba-hambaNYA yang ingin bertaubat.
Firman ALLAH Subhanahu wa Ta’ala yang lebih kurang maksudnya:
    Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”  (Surah az-Zumar 39:53)
Malah, ALLAH ‘Azza wa Jalla sangat gembira dengan sikap hamba-hambaNYA yang mahu bertaubat dan kembali kepadaNYA.  Dalam sebuah hadith, ada Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda yang lebih kurang maksudnya:
    “Sungguh ALLAH itu lebih gembira untuk menerima taubat hambaNYA, melebihi dari kegembiraan seseorang di antara kamu sekalian yang menemukan kembali untanya yang telah hilang di tengah-tengah padang gurun.”  (HR Bukhari & Muslim)
   Nah, lihatlah betapa gembiranya ALLAH Subhanahu wa Ta’ala menerima taubat orang yang bertaubat.  Justeru, jangan putus asa dan kecewa.  Walau banyak mana pun dosa kita, insyaALLAH DIA akan terima taubat kita.  Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:
    “Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, “Wahai anak Adam, sepanjang engkau memohon kepada-KU dan berharap kepada-KU, akan AKU ampuni apa yang telah kamu lakukan.  Aku tidak peduli.  Wahai anak Adam, jika dosa-dosamu setinggi awan di langit kemudian engkau meminta ampunan kepada-KU akan AKU ampuni. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang membawa kesalahan sebesar dunia, kemudian engkau datang kepada-KU tanpa menyekutukan AKU dengan sesuatu apapun, pasti AKU akan datang kepadamu dengan ampunan sebesar itu pula.” (HR. Tirmidzi, ia berkata, ”hadits ini hasan shahih.)
SubhanALLAH, boleh menitis air mata kita tatkala mengenangkan betapa Pemurahnya DIA, betapa Pengampunnya DIA, betapa tak kisahnya DIA akan dosa kita yang menggunung, DIA tetap akan terima kita jika kita mahu kembali kepadaNYA, betapa lembutnya DIA terhadap kita, betapa Penyayangnya DIA.  ALLAH…ALLAH…ALLAH…

Friday, 5 August 2011

KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TARAWIH SETIAP MALAM


KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TARAWIH
Dikeluarkan oleh: Jabatan Mufti Negeri Terengganu.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, Selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu ‘alaihi wasallam serta para sahabatnya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.
Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut : “Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:
  Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).
  Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
  Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.
  Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.
  Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.
  Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W..
  Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh
Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini.
Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.
Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya : Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)
Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).
Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu’ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W. diantara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam… seterusnya dia berkata: Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Fiman Allah bermaksud: {Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan.} (An-Najm: 3-4).
Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S.A.W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri.Jika dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa’bah..
Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)
Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: {Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang.} (Al-Muddatsir)
Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.
Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah:
1-Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.
2-Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur’an dan hadis-hadis shohih.
3-Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.
4-Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan “Ya Ali” sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih.Yang lainnya adalah palsu.
Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah.Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.
SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W.
Sumber: [ http://mufti.islam.gov.my/terengganu/?subid=10&parent=06 ]