I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, 13 December 2012

DARI MANA, KEMANA



Persoalan ini selalu bermain di benak fikiran kita,siapakah diri kita sebenarnya,dari mana kita datang dan kemana kita akan dkembalikan.Mari kita cuba selidiki, teliti dan cuba memahami dari lubuk hati dan sanubari kita..Jawapan bagi persoalan ini bukanlah mudah untuk dikupas tetapi ianya memerlukan satu pengorbanan untuk kita betul2 merasakan kehidupan kita kedunia ini merupakan satu anugerah dan satu nikmat yg besar dari Allah dengan kita merenung hasil penciptaan kita,daripada apakah kita diciptakan dan siapakah yang menciptakan kita.Hakikatnya kita merupakan MAKHLUK YANG MULIA disisi Allah swt..Sebenarnya,kita merupakan makhluk yg istimewa dan Allah juga telah mengiktiraf kedudukan kita di muka bumi ini.Apabila Nabi Adam a.s itu diciptakan,Allah swt memerintahkan para malaikat dan iblis untuk sujud kepada Nabi Adam a.s sebagai tanda hormat. Sedangkan Nabi Adam juga sama seperti kita diciptakan sebagai manusia.Allah swt juga telah berfirman dalam Surah Taha:16 yg bermaksud,

"Dan ingatlah ketika Kami berkata kepada para malaikat,sujudlah kamu kepada Adam,mereka semua bersujud,kecualai iblis yang membantah"

Lihat, Allah juga telah memerintahkan para Malaikat bersujud kepada kita yakni manusia.Itulah tanda mulia dan istimewanya kita. Dan kita perlu menyedari bahawa kitalah sebaik-baik penciptaan..sebab apa?sebabnya,kita sungguh berbeza dengan makhluk ciptaan Allah yg lain.adakah manusia sama seperti haiwan?tumbuhan?benda? atau sebagainya?tidak,tentu sekali berbeza sama sekali....

Berbalik pula kepada persoalan pokok yang kedua,dari mana kita datang?Oleh itu,mari kita sama -sama menghayati firman-firman Allah swt yang menceritakan tentang kejadian kita: Dalam Surah Al-Mukminun:12,13,14

"Dan sesungguhnya,Kami menciptakan manusia itu daripada saripatiyang berasal daripada tanah"

"Kemudian Kami menjadikannya daripada nutfah(air mani) yang tersimpan di dalam tempat yang kukuh (rahim)"

"Kemudian air mani itu Kami jadikan sesuatu yang melekat ,lalu sesuatu yang melekat itu Kami jadikannya segumpal daging,dan daripada segumpal daging itu Kami jadikan tulang-belulang,lalu tulang-belulang itu Kami bungkuskan dengan daging,kemudian Kami menjadikannya makhluk yang berbentuk lain.Maha Suci Allah yang merupakan sebaik baik pencipta."

Subhanallah,Maha Kuasanya Allah...tak mamapu kita nak saingi kehebatan dan kekuasaannya. Cuba kita lihat apa yang ada pada diri kita, semuanya lengkap kan?   

Boleh berjalan,bercakap,berfikir,menghitung,melakukan pelbagai perkara dan mempunyai pelbagai perasaan.Hanya dengan penggabungan OVUM DAN SPERMA kita mampu menjadi yang luar biasa.Ajaib bukan?siapakah yang dapat lakukan sedemikian selain Allah?Jadi,inilah hasil dari penciptaan kita sbg manusia dan khalifah di muka bumi Allah..Oleh itu wahai manusia,kita tidak boleh mensia-siakan hidup kita di dunia ini..Adakah kita nak isi umur kita sepnjang hidup kita di dunia ini hanya dgn makan,minum,nak duit,cari kebahagiaan dan sebagainya tanpa langsung kita selitkan hubungan kita dengan RABB,ILLAH kita??

Tidak seharusnya kita mensia-siakn hidup kita selama bertahun-tahun menumpang di muka bumi yang fana ini..kerana,kita akan pulang ke tempat asal dan tempat yg abadi iaitu di akhirat kelak.

Tuesday, 9 October 2012

ANTARA TANDA PENYAKIT HATI DALAM DIRI MANUSIA


Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. ( Al anfal :2 )

ULASAN  AYAT:

Malas melakukan ketaatan dan amal kebaikan. Malas menjalankan ibadah, bahkan meremehkannya pula. Contohnya melakukan solat bukan dengan "sengaja' tetapi dengan tidak sengaja dan terpaksa. Jika buat sekalipun tidak khusyuk dan ada kesungguhan. Mereka merasa berat untuk menjalankan ibadah sunnah. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan mereka tidak mengerjakan solat, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan." (Surah at-Taubah ayat 54).

Tidak tersentuh ayat Al-Quran. Ketika disampaikan ayat berkenaan janji dan ancaman Allah, maka tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyuk atau tunduk dari membaca al-Quran dan mendengarnya. Sedangkan Allah memperingatkan dalam al-Quran yang bermaksud: "Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut kepada ancaman-Ku." (Surah Qaaf ayat 45).

Tidak tersentuh dengan perkara yang terjadi. Tidak tergerak dengan adanya peristiwa yang dapat memberikan pelajaran seperti kematian, sakit, bencana. Dia memandang kematian atau orang yang sedang diusung ke kubur sebagai sesuatu yang tidak kaitan dengannya. Nabi bersabda yang bermaksud: "Cukuplah kematian itu sebagai nasihat dan peringatan".

Berlebihan mencintai dunia serta melupakan akhirat . Semangat dan segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata. Segala sesuatu diperhitung, dikira berasaskan dunia. Cinta, benci dan hubungan dengan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja seolah hidup hanya untuk dunia dan berakhir di dunia.

Berkawan dengan orang yang melakukan maksiat. Ini salah satu sebab terbesar yang mempengaruhi kerasnya hati seseorang. Orang yang hidupnya di tengah gelombang kemaksiatan dan kemungkaran, bergaul dengan manusia yang banyak berkubang dalam dosa, banyak bergurau dan tertawa tanpa batasan, banyak mendengar muzik yang melalaikan serta menghabiskan harinya untuk tujuan maksiat.

Kemaksiatan yang berterusan. Penyakit hati lahir dari kemaksiatan baru akibat kemaksiatan yang dilakukan sebelumnya sehingga menjadi lingkaran syaitan yang sangat sukar bagi seseorang itu melepaskan dirinya.

Meremehkan dosa kecil. Memang ada dosa kecil dan besar, tetapi perlu diingat semua dosa akan membawa ke neraka. Seperkara yang kita perlu faham, dosa besar bermula dengan dosa kecil, banjir besar bermula dari titis hujan.

Tidak peduli sumber makanan. Orang yang hatinya berpenyakit dan keras ini biasanya kurang prihatin dengan sumber makanan, halal atau haram. Begitu juga dengan syubhat, yang dikira sedap dan enak. Makan di mana pun tidak kira kedai orang Islam atau bukan Islam yang penting sedap dan enak. Begitu juga dengan punca pendapatan, sudah tidak peduli lagi sumber rezeki datang dari mana kerana yang pasti dapat banyak, hidup kaya raya.

Inilah antara perkara yang perlu kita perhatikan. Semoga ianya bukan dari sebahagian perangai dan kesukaan kita, jika ianya masih ada dalam diri kita usahakan untuk menghilangkannya. 
WALLAHU’ALAM

Saturday, 22 September 2012

KERAJAAN ISLAM


Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk menyiapkan tulisan ringkas ini yang bertajuk kerajaan Islam yang disebut Imam Hasan al-Banna didalam kitab risalah ta’lim.Selawat dan salam keatas junjungan besar nabi Muhammad SAW.

Kewajipan kepada setiap penduduk negeri Islam ialah mengakkan Islam dalam negeri. Ini adalah merupakan kewajipan Islamiah keatas setiap penduduk negeri berkenaan. Dengan sebab itu melakukan jihad dalam setiap negeri yang bertujuan untuk menegakkan kerajaan Islam. Itu adalah merupakan suatu kewajipan dan beramal untuk mencapainya adalah merupakan kewajipan syara’ yang diwajibkan keatas setiap muslim lelaki dan perempuan. Sesungguhnya Allah telah memfardhukan keatas semua orang Islam untuk menegakkan syariatnya dengan firmannya yan bermaksud:

“Wahai orang-orang Yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan Yang seimbang)” (al-Baqarah: 178)

Firmannya yang bermaksud:
“Ini ialah satu "surah" Yang Kami turunkan, dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan Yang nyata supaya kamu beringat (mengamalkannya).” (an-Nur:1)

Semua ayat-ayat ini menunjukkan orang-orang Islam berkewajipan menegakkan syariat Allah. Menegakkan syariat Allah tidak boleh dilaksanakan tanpa wujudnya kerajaan Islam di setiap negeri yang menjalankan hukum Allah. Menurut kaedah “setiap sesuatu yang tidak sempurna wajibnya,kecualinya,, maka ia adalah wajib”. Selagi mana kewajipan itu tidak tertegak, maka selama itulah tiap-tiap orang Islam, lelaki dan perempuan berkewajipan berusaha untuk mencapainya.

 Imam Hassan al-Banna telah meletakkan sifat kerajaan Islam dengan katanya “ kerajaan Islam itu ialah kerajaan dimana anggotanya adalah Islam, mereka menunaikan kewajipan-kewajipan Islam, mereka tidak terang-terang melakukan maksiat, kerajaan itu melaksanakan hukum Islam dan ajaran-ajarannya.”
Tidak kira bentuk kerajaan itu selagi ia bersesuaian dengan kaedah-kaedah umum dalam system pemerintahan Islam. Antara sifatnya ialah, ia bertanggungjawab mengasihi rakyat, adil antara manusia, berhati-hati dalam berekonomi untuk membelanjakan harta awam.

Antara kewajipannya ialah menjaga keamanan, melaksanakan undang-undang, mengembang pelajaran, menyediakan kekuatan pertahanan, menjaga kesihatan, menjaga kepentingan-kepentingan umum, mengembangkan harta, menjaga harta, memperkuatkan akhlak dan menyebarkan dakwah.

Objektif untuk menegakkan kerajaan Islam memerlukan kepada penjelasan sehingga terhapus kesamaran sehingga hilang kerumitan, sehingga tidak timbul pertentangan, sehingga tidak timbul pertanyaan dan sehingga tidak timbul keraguan.

Sunday, 9 September 2012

RAKYAT MUSLIM


Alhamdulillah masih diberi kesempatan untuk menyiapkan tulisan ini yang bertajuk rakyat muslim yang diambil daripada ringkasan  syarah risalah ta’lim. Penulisan ini menyambung bab keluarga muslim.

Rakyat muslim yang disebut oleh al-Banna ialah rakyat muslim yang menyerahkan dirinya kepada Allah semata-mata, melaksanakan semua seruan kebaikan, dan memerangi segala kehinaan dan kemungkaran. Ia memiliki ciri-ciri kemanusiaan dan akhlak ketuhanan serta memiliki semua sifat-sifat kemuliaan.

Ia mewarnakan seluruh kehidupannya dengan corak Islam samada dari segi zahir atau batin. Kefahamnnya adalah Islam. Gambarannya adalah Islam, dan sikapnya adalah Islam. Ia membebaskan dirinya daripada semua perkara yang menyanggahi Islam. Ia membuat perhubungan dengan manusia dengan Islam.

Didalam semua tingkah lakunya dia sama sekali tidak bertindak diluar kaedah-kaedah keadilan, kasih sayang dan dasar-dasar kebenaran serta ihsan. Akalnya seorang muslim, hatinya hati seorang muslim dan perasannya adalah perasaan seorang muslim. Ia merupaka seorang mu’min yang sentiasa bekerja untuk kebaikan. Ia sentiasa berpesan supaya dilaksanakan kebenaran dan kesabaran.

Ianya seorang penasihat, seorang yang percayakan dengan syura, beramal dan tunduk dengan keputusan syura tersebut. Ia sentiasa mengharapkan akhirat. Ia tidak menumpukan perhatian kepada dunia lebih daripada nilai dan keperluannya. Ia menganggap bahawa dunia itu hannya merupakan peringkat ke akhirat. Ia bertawakkal kepada Allah dan berpegang kepadanya.

Ia membenci segala kekejian dan menjauhkannya dan ia membenci segala bentu dosa. Rakyat tersebut adalah rakyat yang saling mengasihani dan mencintai sesama mereka. Rakyat yang menyayangi  seorang anggotanya melakukan kesalahan terhadapnya, ia memberi maaf dan tidak memarahi. Malah tolak ansur merupakan prinsip yang ia pegang dan ia ikuti dengan menjalankan perintah Allah, mendirikan sembahyang, berbelanja pada jalan Allah, menolak dan tidak menerima kezaliman. Firman Allah yang bemaksud:

“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang Yang apabila ditimpa sesuatu perbuatan secara zalim, mereka hanya bertindak membela diri (sepadan dan tidak melampaui batas).”  (ash-Syura:39)

Wallahu’alam. Wasollallahu ‘ala nibiyyina Muhammad, wa’ala alihi wasohbihi wasallim.

Saturday, 8 September 2012

KELUARGA MUSLIM


Setinggi kesyukuran dirafa’kan ke hadrat illahi atas limpah kurnianya yang tidak terhingga. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, para sahabat baginda, ahli keluarga serta penerus perjuangan zaman berzaman shingga hari ini.


Dengan ini tercatitlah didalam risalah ta’lim perkara yang diperlukan oleh ikhwan sebagai seorng muslim dizaman ini, seorang pejuang, seorang yang setia dengan barisan dan seorang yang mengikut kepimpinan. Mempekatakan berkaitan individu muslim, didalm risalh ta’lim menunjukkan semuanya. Oleh sebab itu, sesiapa yang tidak mengetahui risalah ta’lim dengan sendirinya ia tidak mengetahui apakah dakwah ikhwan muslimin. 

Assyahid Imam Hassan al-Banna menyebut sesebuah rumahtangga muslim yang dikehendaki ialah rumah tangga yang mana suami isteri mengetahui hak-hak kewajipan masing-masing serta mereka berdua beramal dengannya. Antaranya ialah pandai mendidik anak-anak dan orang gaji dengan memberi pendidikan mengikut dasar-dasar Islam. Antaranya ialah menjaga adab-adab Islam didalam semua kehidupan rumahtangga. Isteri mithali yang disebut Allah akan sifatnya seperti mana isteri yang dipilih oleh Allah untuk Rasulullah SAW  yang terdapat dalam firmannya yang bermaksud:

“Boleh jadi, jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan baginya isteri-isteri Yang lebih baik daripada kamu, - Yang menurut perintah, Yang ikhlas imannya, Yang taat, Yang bertaubat, Yang tetap beribadat, Yang berpuasa, - (meliputi) Yang janda dan Yang anak dara.” (at-Tahrim:5)

Jadi islam, iman, taat, taubat, ibadah dan puasa adalah merupakan petanda sifat-sifat seorang isteri muslimat. Seseorang muslimat tidak sempurna ketaatannya kecuali apabila ianya soleh seperti mana Allah berfirman yang bermaksud:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal Yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. maka perempuan-perempuan Yang soleh itu ialah Yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan Yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua Yang wajib dipelihara) “     (an-Nisa’:34)

Rumah seorang muslim adalah rumah dimana individunya perlu memakai pakaian Islam. Hendklah pakaiannya itu menutup aurat, jangan terbuka daan terdedah. Anak-anak hendaklah dididik untuk berpakaian yang demikian juga. Ibu adalah menjadi contoh.

Rumah seorang muslim janganlah dimasuki oleh sesuatu yang haram. Jaganlah digantung didindingnya sesuatu yang haram. Janganlah perkara yang berlaku didalam rumah iaitu rahsia rumah tangga itu terdedah kepada orang luar.

Rumah seorang muslim ialah rumah yang menyediakan anak-anaknya di peringkat sebelum baligh dengan semua perkara-perkara atau hak Allah yang mesti dijalankan oleh anak-anak itu sesudah baligh. Rumah seorang muslim adalah rumah yang jauh daripada fenomena kemewahan, jauh daripada semua yang tidak Islam.

Sesungguhnya Rasulullah menyuruh supaya ibu bapa memerintahkan anak-anaknya bersembahyang semasa anak-anak itu berumur tujuh tahun. Bila anak-anak itu berumur sepuluh tahun hendaklah dipukul. Ulama’-ulama’ telah mengkiaskan kewajipan menyuruh anak-anak berpuasa sama dengan menyuruh anak-anak bersembahyang.

Ibu-bapa juga hendaklah mengajar anak-anak mereka sesuatu pekerjaan  yang membolehkan anak-anak itu bekerja dengan pekerjaan itu dalam kehidupan mereka. Selain itu ibu bapa hendaklah mendidik mereka diatas semangat jihad dan berperang serta melatih mereka secara demikian. Dengan sebab itulah Khalifah ar-Rashid memerintahkan ibu-bapa supaya mengajar anak-anak memanah, berenang, dan menunggang kuda.

Patut diketahui bahawa seorang muslim yang tidak berjaya mendidik anak-anak dan isterinya, maka pada adat kebiasaan menunjukkan ia lemah untuk mendidik orang ramai, ataupun menjadi pemimpin mereka. Sesungguhnya membiasakan anak-anak untuk mengerjakan kebaikan  dan untuk membiasakan mereka dengan akhlak kehidupan yang baik adalah merupakan kewajipan Islam yang mesti dilakukan dan jangan diabaikan.

Antara perkara yang penting perlu diberi perhatian khas oleh ibu bapa ialah masalah mendidik anak-anak, masalah mengekang nafsu, menutup aurat, mengawal diri daripada nafsu seks, menjauhkan diri daripada tempat-tempat yang merosakkan, dan menjauhkan diri daripada berkawan dengan orang-orang yang diragukan. Ibu bapa juga hendaklah membiasakan anak-anak supaya mencintai pakaian Islam dan mencintai keperibadian Islam.

Wallahu’alam.

INDIVIDU MUSLIM


Alhamdulillah, selawat dan salam keatas junjungan besar nabi Muhammad saw, sahabat-sahabat baginda, tabi’in, seterusnya kepada ulama’-ulama serta pejuang Islam yang terus berusaha untuk meneruskan mata rantai pejuangan Islam. Insya’Allah sedikit ulasan berkaitan sifat yang perlu ada pada seorang individu muslim yang disebut oleh a-Syahid imam Hassan al-Banna.

Mengikut ucapan Hasan al-Banna dalam risalah ta’lim, individu muslim yang mengikut kehendak nas-nas ialah individu muslim yng kuat tubuh badannya, kemas tingkah lakunya, matang fikiranny, berdaya untuk berusaha, sejahtera akidahnya, betul ibadatnya, mujahid bagi dirinya, sentiasa menjaga waktunya, tersusun urusan-urusannya, bermanfaat kepada orang lain, dapat membawa ahlinya untuk menghormati fikirannya, menjaga adab-adab Islam dalam semua fenomena kehidupan rumah tangganya, pandai memilih isteri, dapat memandu isterinya untuk mengetahui hak-hak dan kewajipan, pandai mendidik anak-anaknya dan pandai mendidik mereka yang dipertanggungjawab untuk memberi pendidikan kepadanya mengikut dasar-dasar Islam.

Ia dapat membimbing masyarakat dengan menyebarkan kebajikan, memerangi kemungkaran dan kehinaan, menggalakkan sifat-sifat baik, menyuruh kepada ma’ruf dan melarang daripada kemungkaran, dan ia bersegera untuk melakukan sesuatu kebaikan. Ia bersedia untuk menjadi public opinion supaya memihak kepada Islam. Individu Islam mesti berusaha untuk mewarnakan fenomena umum kepada Islam, ia berusaha untuk membebaskan negara Islam dengan membersihkannya daripada kuasa asing bukan Islam samada dalam bentuk politik, ekonomi, ataupun fahaman.

Ia juga berusaha menjadikan kerajaan itusebagai kerajaan islam yang sebenar. Ia berusaha mengembalikan hakikat antarabangsa umat Islam dengan membebaskan negaranya, menghidupkan kemuliaannya seperti zaman keagungannya, memperdekatkan kebudayaannya, dan mempersatukan negara-negara Islam keseluruhannya dengan mengembalikan khalifah yang telah hilang dan mengembalikan kesatuan ummat Islam yang diidam-idamkan.

Ia juga berusaha menjadikan semua alam ini Islam iaitu dengan menyebarkan agama Islam keseluruh cerok rantau sehingga tidak wujud lagi fitnah dan agama itu seluruhnya untuk Allah semata-mata. Semoga dengan ciri individu Islam yang disenaraikan daripada ulasan kitab risalah ta’lim ini ada dalam diri setiap ahli harakah Islam dan sama-sama berusaha menjadikan diri ini menepati ciri-ciri individu muslim yang disebut oleh  assyahid imam Hassan al-Banna dalam risalah ta’lim.

Friday, 24 August 2012

SEBAGAI PERINGATAN UNTUK DIRI SENDIRI


Ketika waktu senang, jangan lupa diri dan berkata sesuatu yang melukakan hati mereka yang bersama kita ketika waktu susah. Jangan kerana ingin mengejar kawan baru dan menyedapkan hati rakan baru ketika waktu senang sehingga terlupa dan menyisihkan perasaan kawan dan rakan seperjuangan yang bersama kita ketika waktu susah kerana percaya selama ini kita di landasan yang betul.

Bagi mereka yang mengejar kawan dan rakan baharu sehingga terlajak menyinggung perasaan kawan dan rakan seperjuangan ketika waktu susah... usah salahkan mereka sekiranya mereka meninggalkan kita kerana terasa kita sudah terlupa mengapa mereka sanggup bersama kita ketika waktu susah. Akhirnya burung di semak tidak dapat, burung di dalam tangan keterbangan.

Sesungguhnya hanya kawan dan rakan seperjuangan sebenar sahaja akan tinggal di sisi kita ketika waktu susah untuk mengharungi bersama, yang lain hanya datang ketika waktu kita senang.

Petikan daripada tulisan Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man

Saturday, 4 August 2012

APA KHABAR PUASA KITA??


Ramadhan sudah berlalu hampir separuh. Nampaknya masa berjalan begitu cepat sekali. Semua orang merasakan terlalu pantas masa berjalan, sehingga tidak sedar bahawa puasa sudah hampir separuh Ramadhan. Benarlah ini tanda akhir zaman sebagaimana nabi SAW peringatkan . Sabda Rasulullah SAW.

“Tidak berlaku kiamat sehinggalah jarak masa menjadi dekat. Setahun seperti sebulan, sebulan seperti seminggu. Seminggu seperti sehari. Sehari seperti sejam. Sejam seperti api yang menyambar bahan bakar”.

Cuba kita bayangkan dulu jika kita berpuasa memang terasa begitu lama. Sekarang sebaliknya. Ini adalah petanda dunia sudah tua, ia akan menemui ajal yakni kiamat. Bagi kita ahli Pas rebutlah peluang Ramadhan yang masih berbaki, terutama di malam sepuluh terakhir bagi merebut Lailatul Qadar. Perbanyakkan berdoa kerana ia adalah senjata mukmin yang paling kukuh untuk menghadapi cabaran masa depan. Mohonlah kepada Allah agar Allah berikan kekuatan Iman dan istiqamah dan kemenangan kepada perjuangan Islam di negara ini.

Beberapa perkara yang boleh kita muhasabah diri kita apabila separuh Ramadhan berlalu. Apakah ada peningkatan amal kita di dalam amalan sunat kita di dalam bulan Ramadhan ini. Jika tidak, cepat-cepat perhebatkan, kerana masih ada peluang. Ramadhan ialah bulan ibadah. Semua amalan digandakan oleh Allah yang maha pemurah kepada kita. Sebagaimana Nabi SAW bersabda “Siapa yang melakukan satu fardhu digandakan sampai tujuh puluh fardu, siapa yang melakukan amalan sunat, maka ia menyamai satu fardu”.

Ayuh jangan lepaskan peluang ini. Perbanyakkan amalan sunat kerana ia menampung kekurangan amalan fardu yang kita lakukan selama ini. Solat tarawih jangan diabaikan. Tidak kiralah berapa kita mahu amalkan dari segi bilangan rakaat. Tidak perlu perbesarkan soal bilangan rakaat, kerana ia hanya sunat muakkad. Kesemuanya ada hujah masing-masing. Tidak perlulah polimik bilangan ini dibawa ke dalam jamaah sehingga membawa kepada masam muka di kalangan ahli jamaah. Perkara yang sudah lama dibincang sejak dahulu lagi. Apa yang penting ialah kita buat. Bukan perkara bilangan yang hendak kita polimikkan. Tidak ada makna jika perkara ini diperbesarkan sedangkan masalah Islam dihina, hukum Allah diketepikan, penindasan dan ketidak adilan berluasa di dalam masyarakat.

Apa yang penting, biarlah ruh tarawih dihayati oleh kita semua. Tidak ada makna jika buat lapan atau dua puluh, tetapi ruhnya hilang. Biarlah buat dengan tenang dan tertib. Imamnya membaca dengan keadaan tartil dan tenang.

Janganlah kita sebagai pejuang Islam sibuk hendak mencari imam yang cepat habis solat. Tidak elok sangatlah kita jika kita bersikap sedemikian. Tarawih hanya ada pada bulan Ramadhan sahaja, tidak seperti ibadah lain setiap hari dan sepanjang bulan. Siapa boleh jamin kita mampu bertemu lagi di bulan Ramadhan akan datang. Berapa ramai kenalan, ahli keluarga, jiran kita yang tidak diberi peluang oleh Allah untuk bertemu Ramadhan pada tahun ini. Mungkin tahun depan kita juga tidak sempat bertemu Ramadhan. Oleh itu anggaplah Ramadhan ini terahir kepada kita. Azamlah terbaik untuk Ramadhan pada kali ini.

Bagaimana pula dengan al-Quran? Sudah berapa juzuk dihabiskan?. Mesti berazam supaya al-Quran dapat dikhatamkan. Amat memalukan kita sebagai ahli Pas terutama yang bertaraf pemimpin daripada pusat sehingga cawangan jika tidak mampu menghabiskan al-Quran sepanjang Ramadhan ini. Apa makna al-Quran menjadi rujukan parti, jika kita tidak membaca. Ketika masyarakat menolak kandungan al-Quran, jangan pula kita sebagai pejuang agama Allah tidak membaca al-Quran. Kerana membaca al-Quran adalah ibadah yang terbaik. Sebagaimana nabi SAW bermaksud “Sebaik-baik ibadah ialah membaca al-Quran”

Sesibuk mana sekalipun al-Quran tidak boleh disampingkan. Kita mampu habiskan al-Quran di dalam Ramadhan jika disiplinkan diri. Kebiasaan satu juzuk mempunyai 10 helai. Jika setiap waktu sebelum dan selepas solat sehelai insyaAllah, lima waktu dapat satu juzuk. Ertinya jika sebulan dapat khatam al-Quran.

Alhamdulillah kebanyakan masjid di kendalikan oleh orang yang minat dnegan Islam akan mengadakan tazkirah. Ini merupakan langkah yang bijak untuk proses pencerahan ilmu di dalam masyarakat. Kesempatan ini diambil dengan kehadiran mereka yang tidak berapa jinak dengan masjid. Selalunya akan hadir ke masjid untuk menunaikan solat tarawih. Cuma perlu ada kebijaksanaan untuk menghuraikan isi tazkirah yang membangkit kesedaran beragama dan rasa ingin kepada akhirat. Biarlah masanya jangan melebihi 30 minit, isinya tepat dan padat. Bagi ahli Pas jangan lepaskan peluang ini untuk mendapat motivasi dan maklumat yang membolehkan kita istiqamah di dalam perjuangan berlandaskan ilmu. Penuhilah dan renunglah butir-butir mutiara yang dikeluarkan oleh pentazkirah agar ia boleh menghidupkan hati supaya terus bersinar di dalam diri kita.

Ambillah peluang untuk sama-sama bangun dan bermunajat kepada Allah terutama di waktu dini hari (sahur) kerana ia adalah waktu yang mustajab Allah perkenankan permintaan hambanya. Perjuangan kita amat kritikal kehadapan. Musuh tidak akan biarkan kita meraih kemenagan dengan permaidani merah, mereka akan buat apa sahaja asalkan cita-cita mereka tercapai. Soal moral, dosa, pahala, syurga, neraka bukan perhitungan mereka. Mereka sudah buta hati dan hilang rasioanal. Apabila dunia sudah beraja di hati, maka agama diketepikan di dalam tindakan mereka. Maka Allahlah yang mesti dijadikan tempat pengaduan kita, dan penyerahan yang bulat kepadanya. Tidak ada kuasa yang akan dapat menandingi kuasa Allah. Firaun, Namrud, Haman megah dengan kuasa akhirnya tersungkur dengan kehendak Allah SWT.

Monday, 30 July 2012

KAFFARAH PUASA



Kewajipan kaffarah ke atas orang yang membatalkan puasa dengan sengaja.
Orang-orang yang berbuka puasa atau membatalkan puasanya dengan sengaja –tanpa ada keuzuran Syara’- ada dua jenis:

1. Membatalkan puasa dengan bersetubuh.

Bagi kes ini, ijma’ para ulama’ menyatakan bahawa orang yang melakukannnya wajib membayar kaffarah di samping wajib mengqadha’ puasanya. Kaffarah tersebut hendaklah mengikut urutan di bawah:
a) Membebaskan seorang hamba mukmin sama ada lelaki atau wanita
b) Jika tidak didapati atau tidak mampu, hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut (yakni tanpa selang),
c) Jika tidak mampu, hendaklah ia memberi makan 60 orang miskin dengan setiap orang satu cupak makanan asasi penduduk setempat. Bagi penduduk di Malaysia ini, makanan asasinya ialah beras.

Huraian lebih lengkap tentang hukum kaffarah ini seperti berikut:

a) Termasuk dalam erti persetubuhan yang mewajibkan kaffarah (apabila cukup syarat-syaratnya ialah: mensetubuhi faraj, dubur (iaitu meliwat), persetubuhan melalui zina atau syubhah atau dalam nikah yang fasid, sama ada mensetubuhi lelaki atau perempuan, manusia atau binatang. Persetubuhan-persetubuhan ini memberi kesan yang sama kepada puasa jika cukup syarat-syaratnya iaitu:
 (1) Mewajibkan qadha’ puasa.
 (2) Mewajibkan kaffarah.

b) Syarat yang mewajibkan kaffarah itu ada lima, iaitu:
i) Hendaklah orang yang melakukan persetubuhan mengingati bahawa ia sedang berpuasa. Jika ia terlupa –semasa sedang melakukan persetubuhan itu- bahawa ia sedang berpuasa, tidaklah batal puasanya dan tidak wajib atasnya kaffarah.
ii) Ia mengetahui bahawa perbuatan tersebut adalah haram bagi orang yang sedang berpuasa.
iii) Persetubuhan itu bukan berlaku kerana paksaaan
iv) Puasa yang dibatalkan dengan persetubuhan itu adalah puasa Ramadhan. Jika puasa yang dibatalkan itu adalah puasa qadha’, puasa nazar atau puasa kaffarah, maka tidaklah wajib kaffarah kerana hadis Nabi s.a.w. hanya menggkhususkan puasa Ramadhan dengan kaffarah tersebut, tidak puasa-puasa yang lain.
v) Ia bukan orang yang mendapat rukhsah kerana musafir. Maka seorang musafir yang membatalkan puasanya dengan bersetubuh, tidak wajib kaffarah ke atasnya kerana Syara’ memberi keharusan kepada musafir untuk berbuka.

c) Menurut mazhab Syafi’ie, kaffarah hanya dikenakan ke atas lelaki sahaja tidak ke atas perempuan. Jadi, apabila suami dan isteri bersetubuh di siang hari di bulan Ramadhan, yang diwajibkan menunaikan kaffarah ialah si suami sahaja.

d) Apabila berbilang hari berlaku persetubuhan maka berbilang jugalah kaffarah yang mesti ditunaikan. Contohnya, jika persetubuhan belaku pada empat hari, maka kaffarah yang mesti ditunaikan ialah empat juga.

e) Adapun jika persetubuhan berlaku berulang-kali pada hari yang sama, maka kaffarah yang dikira hanya sekali sahaja.[1]

f) Bagaimana jika seseorang itu membatalkan puasa dengan perkara lain selain persetubuhan (seperti dengan makan), kemudian setelah puasanya batal barulah ia bersetubuh dengan isterinya, apakah wajib ke atasnya kaffarah? Jawapannya ialah; ‘tidak wajib’ kerana kafffarah diwajibkan ke atas orang yang membatalkan puasanya dengan jima’ (persetubuhan). Dalam masalah ini, puasa itu batal dengan sebab makan, adapun persetubuhan maka ia berlaku setelah terbatalnya puasa.

2. Membatalkan puasa dengan perbuatan yang lain dari bersetubuh (seperti makan, minum, mengeluarkan mani melalui cara lain dari bersetubuh seperti dengan tangan, menontot filem lucah, berkhayal atau sebagainya).

Tidak ada khilaf di kalangan ulama’ bahawa orang yang membatalkan puasanya dengan makan, minum dan mengeluarkan mani dengan tangan atau sebagainya tersebut, ia wajib mengqadha’kan puasanya itu. Namun apakah ia wajib membayar kaffarah sebagaimana orang yang membatalkan puasanya dengan bersetubuh tadi? Dalam hal ini terdapat dua pandangan:

Pendapat pertama: Imam Malik, Abu Hanifah, ath-Thauri dan beberapa ulama’ lagi mereka berpandangan; Orang yang sengaja membatalkan puasanya dengan makan atau minum, wajib ke atas mereka Qadha’ dan Kaffarah sebagaimana orang yang sengaja membatalkan puasa dengan bersetubuh. Ini kerana tujuan perbuatan mereka adalah sama iaitu berbuka puasa dengan sengaja (tanpa ada keuzuran yang diakui oleh Syara’) di mana mereka telah mencabul kehormatan puasa dan bulan Ramadhan.

Pendapat kedua: Imam Syafi’ie, Ahmad dan ahli Dzahir berpandangan; yang wajib ke atasnya orang yang membatalkan puasa dengan perkara selain persetubuhan (sama ada dengan makan, minum atau mengeluarkan mani dengan tangan dan sebagainya selain bersetubuh) hanyalah qadha’ sahaja, tidak wajib kaffarah. Ini kerana hadis hanya mengkhususkan kaffarah ke atas orang yang membatalkan puasanya dengan bersetubuh sahaja.


Nota Kaki;
[1] Hanya persetubuhan yang membatalkan puasa sahaja yang mewajibkan kaffarah. Jadi apabila persetubuhan berlaku berulang-kali pada hari yang sama, sudah tentunya persetubuhan kali pertama yang membatalkan puasa. Adapun persetubuhan-persetubuhan yang lain, maka ia berlaku setelah puasa telahpun batal.

Thursday, 19 July 2012

TARBIYYAH RAMADHAN


Ketika mengakhiri  ibadah Ramadhan tahun lalu, salah satu harapan yang merusuk kedalam jiwa kita adalah keinginan untuk  berjumpa dan menikmati bulan Ramadhan pada tahun berikutnya. Insya Allah, harapan itu akan terpenuhi, kerana itu kita berharap semoga Allah Swt benar-benar menyampaikan usia kita pada Ramadhan tahun ini.

Kalau kita begitu berharap dapat menikmati kembali ibadah Ramadhan pada tahun ini, kerana Ramadhan adalah bulan yang sangat istimewa. Kerana itu, kehadiran Ramadhan tahun ini, tidak akan kita sia-siakan begitu saja. Sebagai orang yang gembira atas kedatangan kembali Ramadhan dan kita sempat memasukinya, maka target yang ingin kita capai adalah mendapatkan nilai-nilai keistimewaan dari bulan Ramadhan itu sendiri sebagai titik awal untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah Swt.

Ada banyak faktor yang membuat kita harus bersyukur kepada Allah Swt. Salah satunya adalah disampaikan usia kita pada bulan Ramadhan al mubarak, sehingga kita dapat rasakan lagi ibadah Ramadhan yang nikmat itu. Kenikmatan ibadah Ramadhan dapat kita rasakan salah satunya dari sisi nilai tarbiyyah (pendidikan) nya terhadap diri, keluarga dan masyarakat.

Banyak nilai tarbiyyah Ramadhan yang akan kita peroleh, khususnya  dari  ibadah puasa. Pemahaman tentang masalah ini perlu kita ingat dan segarkan kembali agar ibadah puasa Ramadhan pada tahun ini  dapat kita tingkatkan dalam peroleh hasil-hasilnya.

Dalam beribadah Ramadhan, kita cenderung berhati-hati dalam melakukan sesuatu, hal itu kerana kita tidak ingin ibadah Ramadhan kita menjadi sia-sia dengan sebab kekeliruan yang kita lakukan. Secara harfiyah, Ramadhan juga bererti mengasah, yakni mengasah ketajaman hati agar dengan mudah dapat membelah atau membezakan antara yang haq dengan yang bathil. Ketajaman hati itulah yang akan membuat seseorang menjadi sangat berhati-hati dalam bersikap dan bertingkah laku. Sikap seperti ini merupakan sikap yang sangat penting sehingga dalam hidupnya, seorang muslim tidak akan melakukan sesuatu, apalagi sekadar untuk mendapat nikmat secara duniawi.

Berhati-hati dalam hidup ini menjadi amat penting mengingat apapun yang kita lakukan akan dimintai. Kebertanggungjawaban dihadapan Allah Swt, kerananya apa yang hendak kita lakukan harus kita fahami secara baik dan dipertimbangkan secara matang, sehingga tidak sekadar ikut-ikutan dalam melakukannya.

Monday, 14 May 2012

METODOLOGI DAN KEISTEMEWAAN PENULISAN HADIS SAHIH IMAM BUKHARI


PENDAHULUAN

Dalam sejarah menghimpun dan penulisan hadis mengalami perkembangan yang agak lambat dan bertahap dibandingkan dengan perkembangan dan penulisan al-Qur’an. Hal ini kerana al-Qur’an pada zaman Rasulullah SAW sudah ditulis al-Quran itu walaupun sedikit, dan mulai dibukukan pada zaman Abu Bakar khalifah pertama sekalipun penyempurnaannya dilakukan pada zaman khalifah Osman bin Affan yang disebut dengan mushaf Osmani. Sedangkan penulisan hadis pada masa Rasulullah SAW hannya secara umum kerana dilarang oleh baginda SAW. Pembukuan hadis bermula pada abad ke 2 hijrah, pengumpulan dan penulisan hadis mengalami proses pengembangan yang lambat, melibatkan banyak orang dari masa ke masa dan menghadapi pelbagai masalah.

Keadaan hadis pada masa perkembangan sebelum pengumpulan dan penulisan pernah mengalami masalah yang berliku di tengah masyarakat . Oleh kerana itu, para ulama bangkit mengadakan kajian  hadis-hadis yang beredar dan meletakkan dasar kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan yang ketat bagi orang yang meriwayatkan hadis. Dr. M. Syuhudi Isma’il menjelaskan perlunya penelitian hadis kerana hadis Nabi sebagai salah satu sumber ajaran Islam. Tidak seluruh hadis ditulis ketika Nabi masih hidup. Telah timbul pelbagai pemalsuan hadis, dan proses pembukuan hadis memakan waktu yang lama.[1]

Dengan demikian, penyusunan hadis pada hakikatnya sama antara ahli hadis yang lain kerana pola penyusunan hadis telah ditetapkan para ulama-ulama terdahulu. Begitu juga dengan pola penyusunan hadis Imam Bukhari dan hadis Imam Muslim, berdasarkan ilmu hadis yang telah ditetapkan oleh para ulama terdahulu, pada dasarnya pola penyusunan hadis kedua-dua imam tersebut iaitu Imam Bukhari dan Imam Muslim adalah sama. Oleh kerana itu, pola penyusunan hadis Imam Muslim banyak kepada pola penyusunan hadis Imam Bukhari, namun jika diteliti ada perbezaan antara keduanya.

Sahih Bukhari dan Sahih Muslim merupakan dua kitab yang paling sahih setelah al-Qur’an. Melalui kedua-dua kitab ini, ilmu hadis menjadi lebih tersebar kerana pengaruh kedua kitab sahih itu terhadap orang Islam terkemudian ini. Kedua-dua kitab ini telah membuktikan adanya gerakan menghimpun dan meriwayatkan hadis pada masa Imam Bukhari dan Imam Muslim, sehingga taraf kedua kitab itu tidak dapat ditandingi oleh karya imam-imam hadis sesudahnya.[2]

Setelah melihat bentuk metod dan pola penyusunan kitab hadis yang dilakukan Imam Bukhari dan Imam Muslim, sebagai seorang muslim, banyak memberikan kelebihan yang besar daripada kedua imam ini. Berkat jasa beliau berdualah, hadis dapat terjaga terutama dari kalangan oreantalis yang selalu mengkritik dan memandang rendah para ahli hadis termasuk salah satunya adalah Imam Bukhari. Kitab Sahih Imam Bukhari banyak mendapat kritikan dari para oreantalis yang berkaitan dengan metod dan pola punyusunan kitab tersebut.

Namun kedudukan kitab hadis Sahih Bukhari sehingga sekarang banyak menjadi rujukan, sedangkan kitab hadis Sahih Muslim merupakan kitab hadis kedua setelah kitab hadis Sahih Imam Bukhari. Walaupun ada perbezaan antara keduanya, namun tidak ada perselisihan dan perpecahan antara ulama-ulama ahli hadis tentang pola penyusunan kitab hadis kedua imaminit. Dengan demikian, dapat disimpulkan bahawa dalam penulisan dan pola penyusunan kitab hadis, antara Imam Bukhari dan Imam Muslim pada hakikatnya tidak ada perbezaan yang ketara, tetapi pada bahagian-bahagian tertentu yang membezakan antara keduanya terutama perkara utama kitab hadis yang ditulis.

Metodologi Penulisan Kitab Hadis Sahih Imam Bukhari
Imam Bukhari adalah ahli hadis yang termasyhur diantara para ahli hadis sejak dulu hingga kini bersama dengan Imam Ahmad, Imam Muslim, Abu Dawud, Tirmidzi, An-Nasai, dan Ibnu Majah. Dalam kitab-kitab fiqh dan hadis, hadis-hadis beliau memiliki darjat yang tinggi. Sebahagian menyebut dengan jolokan Amirul Mukminin fil Hadis iaitu pemimpin kaum mukmin dalam  ilmu hadis. Dalam bidang ini, hampir semua ulama di dunia merujuk kepadanya.

Nama lengkap Imam Bukhari adalah Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn Mughirah al-Ja’fi ibn Bardizbah al-Bukhari, salah seorang dari perawi dan ahli hadis yang terkenal. Beliau lebih dikenal dengan nama al-Bukhari, hal ini disandarkan pada tempat kelahirannya iaitu Bukhari.[3] Ada sumber mengatakan bahawa Imam Bukhari dilahirkan di Bukhara, Uzbekistan, Asia Tengah. Beliau lahir pada hari Jumaat,13 Syawal 194 H pada 21 Julai 810 M. Ayahnya yang bernama Ismail terkenal sebagai seorang ulama yang soleh. Tempat beliau lahir kini termasuk wilayah Rusia, yang waktu itu memang menjadi pusat kebudayaan ilmu pengetahuan Islam sesudah Madinah, Damaskus dan Baghdad. Daerah itu pula yang telah melahirkan ilmuan-ilmuan besar seperti al-Farabi dan Ibnu Sina. Bahkan ulama-ulama besar seperti Zamaksyari, al-Durdjani, al-Bairuni dan lain-lain, juga dilahirkan di Asia Tengah. Sekalipun daerah tersebut telah jatuh di bawah kekuasaan  Soviet Union.[4] Kedudukan Imam Bukhari bukan sahaja dikenali dikalangan umat Islam sahaja, namun seluruh umat manusia mengetahui kehebatan beliau. Kitab hadis Sahih Imam Bukhari merupakan kitab hadis pertama yang menjadi rujukan para ahli hadis hingga sekarang terutama dikalangan para ilmuwan muslim mahupun bukan Islam terutama tentang metod dan pola penyusunan kitab hadis tersebut.

Di antara kota yang pernah beliau kunjungi dalam rangka mencari ilmu hadis adalah ke Maru, Naisaburi, Ray, Baghdad, Basrah, Kuffah, Madinah, Mekkah, Mesir, Damaskus dan Asqalani. Guru-gurunya dalam bidang hadis lebih dari 1000 orang. Beliau sendiri pernah menyebutkan bahawa kitab al-Jami al-Sahih atau yang terkenal dengan nama Sahih al-Bukhari, disusun hasil dari menemui 1080 orang guru dalam bidang ilmu hadis. Dari perjalanan beliau tersebut, Imam Bukhari berhasil mengumpulkan hadis sebanyak 600 000 hadis, 300 000 hadis di antaranya beliau hafal, yang terdiri atas 200 000 hadis hasan, dan 100 000 hadis yang sahih.[5]

Beliau seorang intelektual yang berdisiplin tinggi. Imam Bukhari  dikenali sebagai pengarang kitab yang produktif. Karya-karyanya tidak hanya dalam disiplin ilmu hadis, tetapi juga ilmu-ilmu lain, seperti tafsir, fiqh, dan sejarah. Fatwa-fatwanya selalu menjadi pegangan umat sehingga mencapai darjat sebagai mujtahid mustaqil iaitu ulama yang ijtihadnya terbuka, tidak terikat pada mazhab tertentu, sehingga mempunyai autoriti tersendiri dalam pendapat berkaitan hukum. Pendapat-pendapat beliau sealiran dengan Imam Abu Hanifah iaitu Imam Hanafi yang berpendirian mazhab hanafi, tetapi ada juga sedikit perbezaannya. Sehingga pola penyusunan dan pola pimikiran beliau tentang hadis tidak bergantung kepada satu mazhab saja, namun beliau mengambil dari berbagai pemikiran para ulama-ulama dalam penyusunan kitab hadis tersebut.

Imam Bukhari diakui memiliki daya hafalan yang  tinggi, diakui oleh kakaknya Rasyid bin Ismail. Kakak beliau pernah menceritakan, pernah Bukhari semasa remaja dan beberapa murid lain mengikuti kuliah dan ceramah di Balkh. Tidak seperti murid lain, Bukhari tidak pernah membuat catatan semasa kuliah. Beliau sering dicemuh kerana membuang masa tidak mencatat, namun Bukhari diam tidak menjawab. Suatu hari, kerana sering dicemuh, Bukhari meminta kawan-kawannya membawa catatan mereka, kemudian beliau membacakan secara tepat apa yang pernah disampaikan  dalam kuliah dan ceramah tersebut. Tercenganglah mereka semua. Ternyata Bukhari menghafal di luar kepala 15 000 hadis, lengkap dengan keterangan yang tidak sempat mereka catat.

Berpandukan pada pendapat tersebut, dapat dikatakan bahawa Imam Bukhari merupakan seorang yang pintar dan cerdas. Beliau pada usia muda telah menunjukan kecintaan kepada ilmu hadis. Dalam menghimpun hadis-hadis sahih dalam kitabnya tersebut, Imam Bukhari menggunakan kaedah-kaedah penelitian secara ilmiah dan terperinci yang menyebabkan kesahahihan hadis-hadisnya. Beliau  berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk meneliti dan menyelidiki keadaan para perawi, serta berusaha mencari kesahihan hadis-hadis yang diriwayatkannya.

Keistemewaan Penulisan Kitab Hadis Sahih Imam Bukhari
Kedudukan hadis dalam Islam sebagai sumber hukum. Para ulama juga telah bersepakat bahawa dasar hukum Islam adalah al-Qur’an dan Sunnah iaitu al-Hadis. Kitab sahih Imam Bukhari telah memperoleh penghargaan tertinggi dari para ulama. Para ulama telah bersepakat bahawa Sahih al-Bukhari adalah satu-satunya kitab yang paling sahih sesudah al-Qur’an.[6]

Kitab Sahih Imam Bukhari diterima oleh para ulama secara sepenuhnya di setiap masa dan keistimewaan kitab Imam Bukhari yang diungkapkan oleh para ulama, diantaranya:

1. Imam al-Tirmidzi berkata: Aku tidak melihat dalam ilmu I’Ilal iaitu cacat yang tersembunyi  dalam hadis dan para tokoh hadis seorang yang lebih mengetahui dari Al-Bukhari.[7]
2. Ibn Khuzaimah berkata: Aku tidak melihat sesorang yang lebih mengetahui hadis Rasulullah SAW dan yang lebih hafalan daripada Muhammad bin Ismail Al-Bukhari.[8]
3. Al-Hafizh Adz-Dzahabi berkata: Dia adalah kitab Islam yang paling agung setelah kitab Allah.[9]

Di antara kelebihan daya ingatan dan kecerdasan Imam Bukhari ialah mampu membawa 100 pasangan sanad hadis dan matan yang sengaja diajukan oleh 10 ulama Baghdad semasa menguji kekuatan daya ingatan dan intelektual Imam Bukhari dalam periwayatan hadis. Semua itu dapat dijawab oleh Imam Bukhari dengan baik. Para ulama yang mengambil hadis dari Imam Bukhari antaranya yang sangat popular adalah Al-Tirmidzi, Imam Muslim, An-Nasai, Ibrahim bin Ishaq al-Hurri, Muhammad bin Ahmad Ad-Daulabi, Manshur bin Muhammad al-Bazdawi. Imam Bukhari meninggal dunia 1 Syawal 256 H/31 Ogos 870 M pada hari jum’at malam sabtu iaitu malam Hari Raya Idul Fitri dalam usia 62 tahun kurang 13 hari di Samarkand.[10]

Disamping cerdas, Imam Bukhari termasuk para ahli hadis yang kuat dan banyak hafalannya, sehingga para ulama menempatkan kitabnya hadis Sahih Bukhari kitab yang paling sahih setelah al-Qur’an. Namun disisi lain, terutama dari kalangan orientalis tidak berhenti mengkritik Imam Bukhari terutama tentang metod dan pola penyusunan kitab hadisnya.

Di antara kalangan dan tokoh orientalis yang mengkritik Imam Bukhari adalah, Ignaz Goldziher, seorang orientalis berasal dari Hungaria dari keluarga Yahudi yang menjadi pelopor pengkritik Imam Bukhari dalam periwayatan hadis. Prof. Dr. MM Azami dalam bukunya Dirasat fil Hadis an-Nabawi wa Tarikh Tadwinih menyatakan bahawa Ignaz Goldziher menuduh rujukan hadis yang dilakukan oleh ulama terdahulu terutama Imam Bukhari tidak dapat disahihkan secara ilmiah kerana kelemahan metodnya. Menurut Goldziher kerana para ulama lebih banyak menggunakan metod kritik sanad, dan kurang menggunakan metod kritik matan. Goldziher kemudian mencadangkan metod kritik baru iaitu kritik matan saja.[11] Apabila diteliti cadangan Ignaz Goldziher, sebenarnya para ulama terdahulu sudah menggunakan metod kritik matan. Apa yang dimaksud kritik matan oleh Ignaz Goldziher itu berbeza dengan metod kritik matan yang digunakan oleh para ulama. Menurutnya, kritik matan hadis itu mencakupi berbagai aspek seperti politik, sains, sosial dan lain-lain. Beliau mengatakan bahawa dalam kitab Sahih Bukhari, Imam Bukhari hanya melakukan kritik sanad dan tidak melakukan kritik matan. Sehingga setelah dilakukan kritik matan oleh Ignaz Goldziher, hadis itu ternyata palsu.

Diantara para penulis moden atau intelektual Islam yang berfikikiran orientalis ini adalah Profesor Ahmad Amin. Dalam bukunya Fajr al-Islam, beliau juga merendahkan ulama hadis secara umum. Kemudian secara khusus, Imam Bukhari dikritiknya. Katanya, “Kita melihat sendiri, meskipun tinggi reputasi ilmiahnya dan cermat penelitiannya, Imam Bukhari ternyata menetapkan hadis-hadis yang tidak sahih dilihat dari segi perkembangan zaman dan penemuan ilmiah, kerana penelitian beliau hanya terbatas pada kritik sanad saja. Menurut Ahmad Amin, banyak hadis-hadis Bukhari yang yang tidak sahih, atau secara tepatnya palsu. Diantaranya adalah sebuah hadis di mana Rasulullah SAW bersabda, “Seratus tahun lagi tidak ada orang yang masih hidup diatas bumi ini”. Hadis ini oleh Ahmad Amin dinilai palsu, kerana ternyata setelah seratus tahun sejak Rasulullah SAW mengatakan hal itu masih banyak orang yang hidup diatas bumi ini.

Seorang pakar hadis berasal dari Indonesia, Prof. Dr. Ali Musthafa Yaqub dalam bukunya kritik hadis menyatakan, adalah suatu tindakan yang sangat tidak ilmiah apabila ada orang yang terburu-buru menilai bahawa suatu hadis itu palsu menurut penilaiannya, kerana bertentangan dengan al-Qur’an dan bertentangan dengan hadis yang lain yang sedarjat kualitinya sebelum melihat karya tulisan para ulama terdahulu yang membahas masalah tersebut. Kejahilan seseorang dalam memahami maksud suatu hadis tidak dapat dijadikan alasan untuk menilai bahawa hadis tersebut palsu.[12]

Dengan demikian, bahawa para orientalis tidak ilmiah dalam menilai bahawa dalam hadis-hadis Imam Bukhari terdapat riwayat-riwayat yang palsu dan bertentangan dengan al-Qur’an, kerana kritikan mereka tidak ilmiah. Namun dalam berdasarkan kritikan yang dilakukan oleh tokoh-tokoh orientalis kepada Imam Bukhari, hanya perkara kecil iaitu dalam pola penyusunan hadis yang dilakukan oleh Imam Bukhari hanya menggunakan pendekatan sanad saja, beliau mengabaikan pengkajian hadis yang disandarkan kepada matan.

Disinilah yang menjadi perbezaan antara pola penyusunan kitab hadis antara Imam Bukhari dan Imam Muslim iaitu terletak pada sanad dan matan. Berdasarkan pada kitab hadis Imam Bukhari dan Imam Muslim, bahawa metod atau pola penyusunan kitab hadis yang dilakukan Imam Bukhari adalah menggunakan pendekatan kepada sanad, sedangkan Imam Muslim adalah menggunakan pendekatan sanad dan matan. Akan tetapi bahawa Imam Muslim lebih mengutamakan kepada pendekatan matan dibandingakan dengan gurunya Imam Bukhari.


[1] Dr. H. Abdul Majid Khon. ( 2008). Ulumul Hadits. Jakarta: Amzah. hlm 67-68
[2] Prof. Dr. Muhammad Alawi al-Maliki. (2006).  Ilmu Ushul Hadits.  Yogyakarta: Pustaka Pelajar. hlm 270
[3] Prof. Dr. H. Endang Soetari Ad.(2008).  Ilmu Hadits, Kajian Riwayat & Dirayah. Bandung: CV. Mimbar Pustaka. hlm 28
[4] http://webcache.gooleusercontent.kumpulanhadits shahih-bukhari/sejarah-singkat-imam-bukhari
[5] Prof. Dr. H. Endang Soetari Ad. (2008).  Ilmu Hadits, Kajian Riwayah & Dirayah. Bandung: CV. Mimbar Pustaka. hlm 281
[6] Prof. Dr. Muhammad Alawi Al-Maliki.( 2006).  Ilmu Ushul Hadits. Yogyakarta: Pustaka Pelajar.. hlm. 257
[7] Dr. H. Abdul Majid Khon.( 2008). Ulumul Hadits. Jakarta: Amzam. hlm. 259
[8] Ibid, hlm. 259
[9] Ibid, hlm. 259
[10] Dr. H. Abdul Majid Khon.( 2008). Ulumul Hadits. Jakarta: Amzah. hlm 67-68
[11] http://webcache.kumpulanhadits/shahihbukhari/sejarahsingkatimambukhari
[12] http://kumpulanhadits/shahihbukhari/sejarahsingkatimambukhari