Sesungguhnya orang-orang yang
beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama
Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan
kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan
mereka jualah mereka berserah. ( Al anfal :2 )
ULASAN AYAT:
Malas melakukan ketaatan dan amal
kebaikan. Malas menjalankan ibadah, bahkan meremehkannya pula. Contohnya
melakukan solat bukan dengan "sengaja' tetapi dengan tidak sengaja dan
terpaksa. Jika buat sekalipun tidak khusyuk dan ada kesungguhan. Mereka merasa
berat untuk menjalankan ibadah sunnah. Allah berfirman yang bermaksud:
"Dan mereka tidak mengerjakan solat, melainkan dengan malas dan tidak
(pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan." (Surah
at-Taubah ayat 54).
Tidak tersentuh ayat Al-Quran.
Ketika disampaikan ayat berkenaan janji dan ancaman Allah, maka tidak
terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyuk atau tunduk dari membaca al-Quran
dan mendengarnya. Sedangkan Allah memperingatkan dalam al-Quran yang bermaksud:
"Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut kepada
ancaman-Ku." (Surah Qaaf ayat 45).
Tidak tersentuh dengan perkara
yang terjadi. Tidak tergerak dengan adanya peristiwa yang dapat memberikan
pelajaran seperti kematian, sakit, bencana. Dia memandang kematian atau orang
yang sedang diusung ke kubur sebagai sesuatu yang tidak kaitan dengannya. Nabi
bersabda yang bermaksud: "Cukuplah kematian itu sebagai nasihat dan
peringatan".
Berlebihan mencintai dunia serta
melupakan akhirat . Semangat dan segala keinginannya tertumpu untuk urusan
dunia semata. Segala sesuatu diperhitung, dikira berasaskan dunia. Cinta, benci
dan hubungan dengan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja seolah hidup
hanya untuk dunia dan berakhir di dunia.
Berkawan dengan orang yang
melakukan maksiat. Ini salah satu sebab terbesar yang mempengaruhi kerasnya
hati seseorang. Orang yang hidupnya di tengah gelombang kemaksiatan dan
kemungkaran, bergaul dengan manusia yang banyak berkubang dalam dosa, banyak
bergurau dan tertawa tanpa batasan, banyak mendengar muzik yang melalaikan
serta menghabiskan harinya untuk tujuan maksiat.
Kemaksiatan yang berterusan.
Penyakit hati lahir dari kemaksiatan baru akibat kemaksiatan yang dilakukan
sebelumnya sehingga menjadi lingkaran syaitan yang sangat sukar bagi seseorang
itu melepaskan dirinya.
Meremehkan dosa kecil. Memang ada
dosa kecil dan besar, tetapi perlu diingat semua dosa akan membawa ke neraka.
Seperkara yang kita perlu faham, dosa besar bermula dengan dosa kecil, banjir
besar bermula dari titis hujan.
Tidak peduli sumber makanan.
Orang yang hatinya berpenyakit dan keras ini biasanya kurang prihatin dengan
sumber makanan, halal atau haram. Begitu juga dengan syubhat, yang dikira sedap
dan enak. Makan di mana pun tidak kira kedai orang Islam atau bukan Islam yang
penting sedap dan enak. Begitu juga dengan punca pendapatan, sudah tidak peduli
lagi sumber rezeki datang dari mana kerana yang pasti dapat banyak, hidup kaya
raya.
Inilah antara perkara yang perlu
kita perhatikan. Semoga ianya bukan dari sebahagian perangai dan kesukaan kita,
jika ianya masih ada dalam diri kita usahakan untuk menghilangkannya.
WALLAHU’ALAM